Memasak memang menyeronokkan, lebih-lebih lagi jika pasangan kerap memuji rasa masakan yang enak.
Namun ada kalanya memasak ini meletihkan kerana perlu menyediakan bahan masakan setiap kali mahu memasak.
Wanita ini berkongsi kisah bahawa dirinya yang berkerjaya mengambil masa terlalu lama untuk menyediakan makan malam dek kerana perlu menyediakan bahan masakan.
Jadi dia mula menyediakan bahan mengikut hari dan akhirnya ia membuahkan hasil kerana dapat menjimatkan masa.
“Saya bekerja di sebuah syarikat kontraktor enam hari seminggu iaitu Isnin sehingga Sabtu. Apabila balik kerja dah penat, lepas tu nak memasak lagi.
“Waktu tahun pertama kahwin, saya hanya potong siap-siap seperti bawang, sayur, bahan basah. Tapi kemudian pening pula nak masak menu apa.
“Jadi datang idea untuk siapkan bahan masakan secara set. Saya potong dan sediakan bahan masakan mengikut set menu dalam bekas yang sudah dilabel contohnya set tomyam, set daging goreng kunyit dan sebagainya.
“Balik kerja, saya tinggal keluarkan saja dan masak. Bahan basah tak ambil masa lama nak defrost (nyah beku) sebab dah diasingkan dalam portion kecil,” ujar wanita bernama Nadia Rusllan ini.
Dia juga mengakui dengan inisiatif begitu, duit bulanan untuk makan luar dapat dikurangkan kerana perlu memasak di rumah setiap hari.
“Apabila buat inisiatif macam ni, secara tak langsung kita akan jadi rajin memasak. Saya sendiri hari- hari memasak… jadi kuranglah makan dekat luar,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga dua tahun lalu.
Videonya yang berkongsi idea itu meraih jumlah tontonan sehingga 440K views dan juga 635 komen.
Baca juga: Kubur mewah berharga RM367,000 buat netizen melopong