Malaysia ada banyak cuti umum tapi mengada-ngada nak kerja 4 hari je. Malaysia masih dikategorikan sebagai negara membangun, maka perlaksanaan kerja 4 hari seminggu sukar dilaksanakan.
Negara juga sedang menghadapi masalah produktiviti dan buruh yang rendah jadi ia menyukarkan lagi proses perlaksanaan kerja 4 hari tersebut.
Kurang jam kerja, kurang pengeluaran produk
Menurut The Sun, Presiden Persatuan PKS Malaysia, Ding Hong Sing berkata jam kerja yang lebih sedikit di Malaysia akan menyebabkan pengeluaran yang kurang dan seterusnya harga yang lebih tinggi dalam pasaran kerana syarikat masih perlu menampung kos tetap mereka.
“Sebagai contoh, jika anda membuat 100,000 produk dalam satu minggu, apabila anda memendekkan hari bekerja, ia akan menjadi 80,000.
“Tetapi kami masih perlu membayar gaji dan sewa jadi kami perlu menaikkan harga untuk menampung kos dan ini akan menjejaskan ekonomi keseluruhan,” katanya.
Ding seterusnya menjelaskan bahawa Malaysia kini menghadapi kekurangan tenaga kerja kerana lebih satu juta pekerja asing telah pulang ke negara asal mereka berikutan perintah kawalan pergerakan.
Beliau menambah, sebagai sebuah negara membangun, tahap automasi masih belum mencapai tahap negara yang telah melaksanakan sistem empat hari seminggu bekerja.
“Negara-negara yang telah melaksanakan sistem ini sudah maju dan pengeluaran mereka adalah automatik. Sebagai sebuah negara maju, mereka akan mendapatkan sumber kepada negara Asean untuk membeli produk yang tidak automatik.
“Cadangan itu bagus tetapi Malaysia tidak boleh bertahan jika kita melaksanakannya,” katanya.
Pada Isnin, ADUN Johor Nor Rashidah Ismail mencadangkan kerajaan negeri menerima pakai empat hari seminggu bekerja dari Isnin hingga Khamis dengan hari rehat dari Jumaat hingga Ahad bagi negeri itu.
Dia mencadangkan bekerja sepenuh masa dari Isnin hingga Khamis dengan tambahan waktu bekerja.
Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Effendy Abdul Ghani berkata pelaksanaan empat hari seminggu bekerja bergantung kepada jenis industri dan kaitannya.
Pada 1 Sept, beliau juga berkata pindaan kepada Akta Kerja 1955 akan menyaksikan waktu bekerja dikurangkan daripada 48 kepada 45 jam seminggu.
“Perlu ada perbincangan antara majikan, pekerja dan kerajaan mengenai pelaksanaan empat hari seminggu bekerja.
“Pada masa ini, waktu bekerja bergantung kepada jenis industri. Sebagai contoh, pihak pengilangan yang menjalankan kilang akan mempunyai syif, jadi waktu bekerja dan hari cuti pun berbeza,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, minggu bekerja empat hari itu boleh dilaksanakan tetapi Malaysia terlebih dahulu perlu membuat kajian kebolehlaksanaan dengan negara Asean lain dan bukannya membandingkan dirinya dengan negara Eropah yang mempunyai waktu kerja berbeza.
Bukan isu hari bekerja tetap isu jam bekerja yang perlu diselesaikan
Sementara itu, setiausaha Rangkaian Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Sivaranjani Manickam berkata, isu itu bukan minggu bekerja lima hari.
Sebaliknya, ia adalah waktu bekerja yang panjang yang menjejaskan pekerja di negara ini.
Beliau berkata organisasi itu menyokong minggu kerja lima hari atau 35 jam kerja seminggu, tidak lebih.
“Di Johor, isunya agak berbeza kerana kerajaan negeri bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu, manakala sektor swasta bercuti pada hujung minggu.
“Jadi, mereka hanya mempunyai satu hari cuti biasa (Sabtu) jika ahli keluarga mereka berada dalam sektor kerajaan dan swasta,” katanya.
Cuti umum di Malaysia sudah banyak, belum masuk cuti peristiwa
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Bersekutu Tan Sri Low Kian Chuan tidak memihak kepada minggu bekerja empat hari kerana negara perlu meningkatkan produktiviti dan daya saing terlebih dahulu.
“Kami akan mengurangkan waktu bekerja kami daripada 48 kepada 45 jam seminggu pada bulan September. Kami kekurangan dua hari bekerja jadi kami tidak boleh mengurangkan lagi sekarang.
“Selain itu, Malaysia berada di kedudukan kedua dengan cuti umum paling banyak di dunia iaitu kira-kira 20 hari dan sentiasa ada cuti tambahan seperti memenangi perlawanan bola sepak,” katanya.
Pada 2022, beliau berkata kedudukan daya saing Malaysia turun daripada 25 kepada 32.
Baca Juga: ADUN Johor cadang kerja hanya 4 hari seminggu
Baca Juga: Budak 4 tahun kritikal dadah: Doktor ini dedah sebab perlu ‘direhatkan’