Nama Malaysia kena ‘petik’ dengan Amnesty International(AI) apabila dikatakan menjadi antara negara yang membekalkan perkakasan pengintipan kepada Indonesia.
Selain Malaysia, Indonesia juga memperoleh perkakasan itu dari Israel dan Kesatuan Eropah
sekali gus mengundang kebimbangan mengenai hak privasi dan kebebasan bersuara, kata Amnesty International(AI) hari ini.
Sekatan online di Indonesia yang merupakan ekonomi terbesar di Asia Tenggara telah dikritik kumpulan-kumpulan hak asasi.
Tindakan tersebut didakwa digunakan terhadap pengkritik pemerintah dan bagi mengekang kebebasan bersuara di media sosial.
AI mendakwa bahawa Jakarta menggunakan pelbagai perkakasan pengintipan dan pemantauan terhadap pembangkang, media serta aktivis hingga 2023.
Platform pengintipan itu dibeli daripada rangkaian broker, penjual semulaa dan vendor di Luxembourg, Israel, Malaysia dan Singapura.
Ia digunakan oleh syarikat dan agensi pemerintah di Indonesia termasuk Polis Nasional serta Agensi Kripto dan Siber Nasional(BSSN), kata AI.
“Perdagangan perkakasan pengintipan kepada Indonesia menambah satu lagi alat untuk intimidasi.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan,” kata ketua Makmal Keselamatan AI, Carolina Rocha da Silva dalam satu kenyataan.
Justeru, AI meminta Indonesia melakukan lebih banyak usaha untuk melindungi rakyatnya daripada pemantauan massa dan pencerobohan siber.
Kementerian Komunikasi dan Maklumat, Polis Nasional serta BSSN masih belum mengulas tentang dakwaan tersebut.
BACA JUGA Pemain bola dipukul dan disamun, rupanya dah lama bercinta dengan artis ini