Selain jerawat dan jeragat, banyak wanita juga mengalami masalah kehadiran biji kolesterol atau milia seed pada wajah.
Biji kolesterol ini biasanya berbentuk biji-biji kecil yang berwarna putih kekuningan dan tidak menyebabkan ketidakselesaan, kesakitan, atau rasa gatal.
Memetik laman Hellodoktor.com, terdapat dua punca yang menyebabkan biji kolesterol ini terbentuk pada wajah, iaitu penggunaan produk penjagaan muka berasaskan minyak dan juga kerap menggunakan alat solek.
Perlu diingat, biji kolesterol ini tidak boleh dipicit seperti jerawat kerana mereka terbentuk di bawah lapisan kulit.
Terdapat beberapa kaedah yang boleh anda gunakan untuk menyingkirkannya, iaitu:
1) Mencuci wajah
Untuk memastikan kulit wajah anda selalu bersih, cuci muka dengan sabun yang lembut dan tidak mengandungi paraben setiap hari.
Selepas mencuci muka, pastikan anda mengeringkan kulit wajah dengan lembut menggunakan kain yang bersih.
2) Skrub
Sesetengah produk pengelupasan (exfoliate) boleh menghalang pengeluaran berlebihan keratin dalam kulit anda.
Disyorkan untuk menggunakan skrub muka yang mengandungi asid salisilik, asid sitrik, atau asid glikolik. Anda hanya perlu menggunakan skrub ini sekali seminggu.
3) Krim retinoid
Krim retinoid mengandungi vitamin A yang memiliki peranan penting dalam menjaga kesihatan kulit.
Gunakan produk yang mengandungi retinoid atau retinol hanya sekali sehari. Sapukan produk ini selepas mencuci muka dan pastikan kulit wajah dalam keadaan kering.
Apabila menggunakan krim retinoid atau retinol, ingat untuk selalu menggunakannya bersama krim pelindung matahari setiap hari.
4) Krim pelindung matahari
Pastikan anda menggunakan krim pelindung matahari yang diformulasikan khusus untuk kulit wajah.
Pastikan faktor perlindungan matahari (SPF) dalam krim adalah 30 atau lebih tinggi. Jika kulit anda amat sensitif terhadap matahari, pertimbangkan untuk menggunakan produk dengan SPF 100.
5) Wap wajah
Wap wajah bertujuan untuk membuka liang-liang kulit agar mudah untuk mengeluarkan bahan perengsa kulit.
Untuk melakukannya, duduk dalam bilik mandi dan hidupkan pancuran air dengan suhu panas. Duduk selama lima hingga 10 minit.
Selepas itu, matikan pancuran air panas dan duduk beberapa minit lagi dalam bilik mandi. Kemudian, keringkan kulit dengan lembut dan bilas dengan air suam.
Baca juga: Ini rupanya tips ‘rahsia’ nak cuci belangkas, baru la tak ragu-ragu nak makan