Setelah empat tahun tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Dato’ Keramat, Kuala Lumpur berlalu, waris mangsa mendakwa sumbangan awam berjumlah jutaan ringgit langsung tidak disampaikan kepada mereka.
Seperti yang dipetik FMT, “Satu sen sumbangan berjuta ringgit pun kami tak dapat, permohonan maaf jauh sekali,” dakwa seorang waris, Zamzuri Zakaria.
Beliau berkata, keadaan itu memaksa ibu bapa 31 pelajar yang terkorban dan cedera bertindak mengemukakan saman terhadap pengetua tahfiz berkenaan, Mohd Zahid Mahmood dan isterinya, serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Menurutnya, kes itu sedang berjalan di mahkamah.
Anak Zamzuri, Mohammad Aidil Aqmal hanya berusia 10 tahun ketika terkorban dalam kebakaran yang menyayat hati pada September 2017 itu. Kematiannya masih diratapi Zamzuri, yang mendakwa pihak terbabit gagal menunjukkan sebarang perasaan simpati terhadap beliau sekeluarga.
“Dari hari anak saya meninggal, sampai ke hari ini, langsung tak pernah datang jenguk. Nak minta maaf macam mana? Jumpa kami pun tidak pernah. Tapi dia (Zahid) beri kenyataan pada media semua baik-baik,” katanya.
Beliau mahukan penjelasan berhubung peranan pengurusan sekolah dan MAIWP berhubung sumbangan orang awam, dikatakan berjumlah antara RM8 juta hingga RM10 juta, yang dikumpul untuk waris mangsa.
“Mereka tidak telus,” katanya.
FMT sudah menghubungi peguam pengetua terbabit dan dimaklumkan anak guamnya akan memberikan respons kemudian.
Perbicaraan saman sivil itu tergendala beberapa kali akibat wabak Covid-19. Tarikh baharu perbicaraan kini ditetapkan pada 5 hingga 12 Jan, dan 21 hingga 22 Feb.
Pada 17 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke atas seorang remaja selepas didapati bersalah membakar pusat tahfiz berkenaan.
‘Bukan anak kau yang mati’
Mengimbau detik hitam itu, Zamzuri berkata, beliau melalui jalan ke pusat tahfiz itu kerana mahu membeli makanan di Pasar Keramat untuk isterinya bersahur.
Dalam perjalanannya, beliau ternampak asap hitam dari arah pusat tahfiz itu, lalu bergegas ke sana tetapi gagal menyelamatkan anaknya.
“Saya sudah ada dekat tingkat atas (bangunan tahfiz). Waktu itu, saya turun naik bangunan itu tiga kali. Saya panggil nama anak saya. (Tetapi) waktu itu hanya kedengaran bunyi api meletup-letup saja.
“Ada orang naik atas, pegang saya, suruh turun. Saya marah. Saya kata, ‘Bukan anak kau yang mati, anak aku yang mati. Anak aku yang kat dalam’,” katanya.
Akhirnya, Zamzuri terpaksa menerima hakikat.
“Waktu azan Subuh, saya telefon isteri saya, beritahu anak kami sudah tiada. Saya terduduk di tepi dinding. Tak ada apa yang boleh saya buat,” katanya.
Hari ini, Zamzuri dan isteri hanya dapat mengenang keceriaan anak kesayangan mereka itu untuk mengubat kesedihan.
“Petang sebelum dia meninggal, saya bagi dia makan kuih sagu merah. Saya dan isteri ada datang jumpa dia,” katanya.
“Masa (kami) nak balik, dia peluk saya betul-betul. Dia letak kepala dia di dada saya. Masa tu, saya tak rasa apa-apa. Lepas itu, dia peluk emak dia kuat-kuat,” katanya.