Manusia bilionair dunia seperti Mark Zuckerberg dan Elon Musk rupanya sudah bersiap menghadapi apa yang dianggap mereka sebagai hari kemusnahan tamadun manusia.
Heboh dilaporkan Mark Zuckerberg membina sebuah kubu bawah tanah rahsia di bawah ladang ternakan miliknya di Hawaii yang menelan kos AS$270 juta (RM1.28 bilion).
Pengasas Facebook itu telah merancang pembinaan projek misteri itu yang disembunyikan di belakang tembok setinggi hampir 2 meter.
Lapor majalah Wired dipetik Kosmo!, pekerja terbabit pula dikehendaki menandatangani persetujuan untuk tidak mendedahkan projek tersebut.
Bagi mereka yang memuat naik mengenainya di laman sosial akan dibuang kerja, kata seorang lelaki yang arif tentang kubu rahsia berkenaan.
Bekalan makanan dan tenaganya sendiri semua ada dalam kubu bawah tanah Zuckerberg yang dilengkapi pintu-pintu kalis letupan.
Sementara itu, lelaki terkaya di negeri Idaho, Frank VanderSloot juga dikatakan membeli tanah seluas lebih 809 hektar di selatan ladang Zuckerberg pada harga AS$51 juta (RM242.8 juta).
Elon Musk
Bilionair Elon Musk yang tahun lalu telah membeli platform media sosial X pada harga kira-kira AS$44 bilion juga telah membina pertahanan ‘terbaik’ untuk menghadapi hari kemusnahan tamadun manusia.
Pemilik SpaceX itu berkongsi gambar trak dinamakan Tesla Cybertruck yang dilengkapi kaca perisai untuk melindungi daripada peluru berpandu atau robot pembunuh.
“Tesla Cybertruck, teknologi pertahanan hari apokalips terbaik!” kata Musk baru-baru ini.
Dalam masa sama, dilaporkan terdapat sebuah kubu bawah tanah setinggi 15 tingkat di lokasi yang tidak diketahui di negeri Kansas.
Kubu besar itu dilengkapi dengan segala-gala yang diperlukan untuk bertahan jika bencana sejagat berlaku.
Pertama kali dibina semasa Perang Dingin, kubu itu cukup kukuh untuk menahan serangan nuklear secara langsung.