Sebuah rangka hampir lengkap dari dinosaur yang berusia 150 juta tahun akan dilelong dalam acara di Hotel Drouot, Paris, pada 20 Oktober ini.
Dinosaur Camptosaurus yang ditemui di Wyoming, Amerika Syarikat pada tahun 1990-an telah diberi nama ‘Barry’ sebagai penghormatan kepada Barry James, seorang ahli paleontologi yang menjalankan penemuan tersebut.
Pakar-pakar mengatakan bahawa rangka tersebut masih dalam keadaan terpelihara dengan baik, dan ia dijangka mempunyai nilai sehingga AS$1.2 juta (RM5.63 juta).
‘Barry’ dikatakan telah hidup pada penghujung Zaman Jura (Jurassic) dan memiliki ketinggian sekitar 2.1 meter dan panjang sekitar 5 meter.
Alexandre Giquello dari pusat lelong Hotel Drouot mengatakan bahawa jarang sekali untuk melihat rangka dinosaur yang begitu lengkap dan utuh seperti ‘Barry’.
“Tengkoraknya masih ada 90 peratus dan (rangka) bahagian lainnya pada 80 peratus,” katanya.
Pada bulan April tahun lalu, sebuah rangka Tyrannosaurus rex atau t-rex dijual dalam satu acara lelongan untuk pertama kalinya di Eropah.
Baca juga: Senang je buat aiskrim premium kat rumah, janji jangan ‘derhaka’ resepi ini