Pelakon Meerqeen dan Anna Jobling sekali lagi berjaya mengukir namanya dalam senarai 100 Wajah Lelaki Paling Kacak 2023 (100 Most Handsome Faces 2023) dan 100 Wajah Wanita Paling Jelita 2023 (100 Most Beautiful Faces 2023) menurut pilihan TC Candler, untuk dua tahun berturut-turut.
Dalam edisi 2023, Meerqeen atau nama penuhnya Muhammad Shameer Shauqeen, 21, berada di tempat ke-62, manakala Anna Jobling berada di tempat ke-66 dalam senarai 100 Wajah Lelaki Paling Kacak 2023 dan 100 Wajah Wanita Paling Jelita 2023 menurut pilihan TC Candler.
Lebih membanggakan, kedua-dua pelakon muda itu telah mengatasi beberapa nama besar lain termasuk bekas pemain bola sepak antarabangsa, David Beckham yang berada di tangga ke-68.
Anggota kumpulan K-Pop terkenal, Jin dari BTS turut dikalahkan dan berada di kedudukan tangga ke-67.
Dalam kategori wanita, Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman telah berjaya mengatasi nama-nama besar seperti aktres Hollywood Margot Robbie (90), dan Emma Watson, berada di tempat ke-83.
Kedua-dua pelakon yang membintangi drama “Melur Untuk Firdaus” itu menjadi satu-satunya artis Malaysia yang berjaya lolos dalam senarai tersebut seperti yang diumumkan melalui laman media rasmi antarabangsa, TC Candler pada 28 Disember yang lalu.
Pada tahun 2021, Tabby dari kumpulan Dolla menjadi wakil tunggal Malaysia manakala Mira Filzah dan Fattah Amin pula tersenarai untuk tahun 2020.
Baca juga: Isteri jutawan Dubai dedah suami bayar RM1.4 juta setiap kali hamil -“Harga takboleh runding”