Sebuah pasangan suami-isteri di Perancis telah mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang peniaga barang antik setelah dia membeli topeng Afrika daripada mereka dengan harga €150 (RM745), tetapi kemudian menjualnya kembali dengan harga €4.2 juta (RM20.76 juta), seperti yang dilaporkan oleh laman berita Insider.
Sebuah pasangan berusia 81 dan 88 tahun, yang identitinya tidak didedahkan, dilaporkan sedang membersihkan rumah mereka sekitar tahun 2021 ketika mereka menemui topeng tersebut.
Menurut rekod mahkamah, suami isteri tersebut kemudian pergi menemui seorang peniaga barangan antik tempatan untuk menjual objek tersebut, dan kedua pihak bersetuju untuk melakukan urus niaga dengan harga €150 (RM745)
Peguam pasangan tersebut menyatakan bahawa anak guam mereka tersilap percaya bahawa topeng kayu itu tidak memiliki nilai, seperti yang dilaporkan oleh akhbar Le Monde. Namun, sebenarnya, topeng tersebut merupakan karya seni yang berharga dari Afrika pada abad ke-19.
Ia adalah topeng Ngil yang digunakan dalam ritual oleh etnik Fang di Gabon, dengan hanya beberapa buah yang wujud di dunia.
Pasangan tersebut merasa tertipu dengan urus niaga tersebut dan kini menyaman defendan sebanyak €5.21 juta (RM25.92 juta) kerana menyembunyikan maklumat bahawa topeng tersebut sebenarnya memiliki nilai tinggi.