Ketika hari raya korban, pasti kita akan disajikan video yang mencuit hati seperti tukang sembelih dikejar lembu, lembu melarikan diri dari dikorbankan.
Namun tular baru-baru ini video seekor lembu yang kelihatan seperti sudah mati kerana lidahnya dilihat telah terkeluar dan ikatan di leher amat ketat.
Netizen mempersoalkan pengetahuan tukang sembelih yang tidak melihat situasi tersebut kerana dilihat terus menyembelih lembu berkenaan.
Pakar Rujuk Bidang Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang turut berkongsi video peristiwa berkenaan di media sosialnya diminta mengulas lanjut mengenai hal berkenaan. Ini penjelasan beliau.
Sebelum ibadah korban, terdapat tiga perkara yang perlu diperhatikan:
- Pastikan haiwan dalam keadaan hidup sebelum disembelih. Perlu berhati-hati dengan tali pada leher haiwan, kerana terdapat risiko haiwan mati tercekik sebelum sempat disembelih.
- Hindari patahnya tulang haiwan. Prosedur penurunan dan penanganan haiwan perlu dilakukan dengan pengetahuan yang betul. Jika tidak, kemungkinan tulang haiwan patah riuk sebelum disembelih.
- Pastikan pisau yang digunakan tajam. Pisau yang tumpul akan menyebabkan penderitaan kepada haiwan semasa proses penyembelihan.
Sila ambil perhatian terhadap perkara-perkara ini untuk memastikan pelaksanaan ibadah korban yang beretika.
Beliau tidak memberikan pendapat tentang video yang tular kerana dikhuatiri video tersebut hanya sebahagian sahaja dan individu berada di lokasi lebih mengetahui perkara yang sebenar.
Beliau juga menambah jika haiwan ternak mati sebelum disembelih hukumnya adalah seperti berikut:
1. Memakan dagingnya adalah haram dan ia termasuk dalam kategori bangkai
2. Penyembelihan lembu tersebut tidak menjadi ibadah korban
3. Penganjur wajib ganti lembu lain kepada pemilik lembu atau bahagian
4. Sembelih semula haiwan yang diganti pada hari-hari tasrik
Baca juga: Tragedi berkelah ragut dua nyawa, lapan dikhuatiri lemas dibawa arus kepala air