Maybank dilanda krisis kewangan terbesar?

Malayan Banking Bhd (Maybank) menegaskan bahawa dakwaan yang ia akan menghadapi masalah kewangan besar disebabkan pendedahan kepada Genting Hong Kong adalah sesuatu yang tidak berasas.

Maybank menjelaskan, pihaknya tidak mengulas mengenai pendedahan kepada pelanggan atau pelanggan yang didakwa atas obligasi kerahsiaan.

“Kami ingin menekankan bahawa Maybank amat menitikberatkan perakaunan yang ketat berkaitan peruntukan dan susut nilai pinjaman, mengikut keperluan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) dan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS). Perakaunan ini juga tertakluk kepada semakan oleh juruaudit luaran kami dan pihak pengawal selia,” menurut Maybank dalam kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu bertujuan menjawab pertanyaan Bernama mengenai laporan akhbar baru-baru ini bahawa Maybank adalah antara tiga bank Malaysia yang akan berdepan masalah kewangan besar susulan pendedahan kepada Genting Hong Kong.

Maybank menambah, pihaknya mengamalkan proses pemantauan kualiti aset yang ketat, di mana peminjam rentan dikenal pasti dan diuruskan sewajarnya daripada bermulanya sebarang potensi kelemahan kualiti aset.

“Justeru, peruntukan pinjaman akan dilaksanakan secara proaktif daripada bermulanya sebarang kelemahan kualiti aset berasaskan penarafan risiko pinjaman dengan bank.

“Oleh yang demikian, Maybank menegaskan bahawa caj kredit bersih semasa kami bagi panduan untuk peruntukan pinjaman adalah kekal tidak berubah dan kami boleh mengesahkan bahawa kedudukan kewangan kami kekal kukuh,” jelasnya.

Media melaporkan keuntungan tiga bank Malaysia termasuk Maybank, dijangka terjejas berikutan masalah yang dihadapi pengendali kapal persiaran, Genting Hong Kong firma korporat Asia yang amat terkesan ekoran pandemik COVID-19.

Dua bank lain ialah CIMB dan RHB Bank Bhd.

Straits Times Singapura melaporkan, ketiga-tiga bank ini adalah antara beberapa pemuitang tidak bercagar utama bagi Genting Hong Kong, dengan gabungan pendedahan berjumlah AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Pemfailan pembubaran Genting Hong Kong dibuat seminggu selepas anak syarikatnya bagi pembuatan kapal di Jerman, MV Werften, mengalami situasi ketakmampuan bayar.

Ia satu perkembangan yang mencetuskan kemungkiran silang bagi pelbagai pengaturan pembiayaan keseluruhan syarikat itu bernilai lebih AS$2.7 bilion, lapornya.

-BERNAMA