Reputasi Perlis sebagai pengeluar utama mangga Harum Manis di negara ini sulit untuk digugat oleh mana-mana negeri termasuk Kedah, meskipun Kedah mulai menghasilkan buah tersebut untuk pasaran tempatan.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata meskipun Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menyatakan Harum Manis dari negeri itu mula dikenali ramai, namun tidak dinafikan Harum Manis Perlis tetap menjadi No 1 dalam kalangan penggemar buah tempatan.
“Saya ingat Datuk Seri Sanusi ini berangan, mangga Harum Manis Perlis ini tidak akan boleh ditandingi mangga mana-mana negeri pun, Insya Allah kerana dia mempunyai rasa tersendiri.
“Selain itu, cuaca dan tanah di Perlis juga amat sesuai untuk penanaman mangga jenis ini berbanding di tempat lain jadi apabila (Datuk Seri) Sanusi mengatakan bahawa mangga Harum Manis dari Kedah sudah mampu jauh meninggalkan mangga Harum Manis Perlis hingga 80 tiang atau berapa puluh tiang sekalipun, saya rasa itu angan-angan beliau sahaja,” katanya.
Beliau turut menambah perbezaan yang sangat jauh apabila mangga Harum Manis Perlis dapat bertahan dalam cuaca ekstrem iaitu panas di negeri tersebut.
“Beza mangga Harum Manis Perlis ini seperti biasa, ia adalah manis dan berbau harum, itu yang paling penting. Selain itu, sesiapa juga yang membawa benih mangga Harum Manis Perlis untuk ditanam di negeri lain, tidak dapat menyamai rasa manis dan keharuman yang ada pada buah itu yang ditanam di Perlis.
“Ini adalah disebabkan juga kawasan muka bumi Perlis ini yang berbukit dan cuacanya lebih kering jadi kita melihat ini sebagai anugerah Allah tidak terhingga di negeri ini,” katanya.
Pada 5 Mei lalu, Muhammad Sanusi, ketika ditemui selepas Perasmian Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Salak kepada Pusat Mempelam Kedah di Yan, menyatakan bahawa Kedah yakin dapat menjadi pengeluar utama mangga Harum Manis di negara ini selepas usaha meluaskan tanaman buah tersebut giat dilaksanakan.
Beliau turut menyatakan Harum Manis Kedah ataupun Harumanis D’Aman sudah mula dikenali dan lebih popular berbanding mangga yang dihasilkan oleh negara jiran.
Selain itu, katanya, kerana populariti itu, Harumanis D’Aman dikatakan mampu meninggalkan jauh mangga Harum Manis Perlis sejauh ’80 tiang’.
Baca juga: Sultan Selangor kecewa MFL teruskan perlawanan- “Keutamaan kini bukanlah untuk menang”