MB Selangor berang Pas buat laporan polis langgar kuarantin

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari secara sinis menasihatkan ahli Pas melakukan sembahyang hajat bagi menolak kebodohan.

Reaksi Pengerusi Selangor PKR itu susulan tindakan Pas Kawasan Titiwangsa akan membuat laporan polis jam 11.30 pagi ini berhubung pelanggaran arahan kuarantin.

“Sempena laporan polis saya galakkan mereka (Pas) buatlah solat hajat menolak kebodohan.

“Kenapalah kebodohan ditunjukkan untuk tutup kesalahan pemimpin mereka. Saya doakan mereka dibuang sifat melulu taklid pimpinan mereka,” katanya dipetik daripada perbualan dalam kumpulan WhatsApp Wacana Ilmu, Seni, Budaya pagi ini.

Kumpulan WhatsApp itu dianggotai lebih 250 ahli terdiri daripada ahli politik, ahli akademik dan pengamal media.

Pas Kawasan Titiwangsa dalam satu makluman kepada media dijadualkan akan membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju (Balai Polis Pudu).

Isu lain yang turut dilaporkan ialah media-media sarkastik tetapi dianggap ‘palsu’ oleh Pas kawasan itu seperti Bermana.com, Harakatdaily dan SinarianHarian.

Mengulas lanjut, Amirudin turut memberitahu status kesihatannya berhubung Covid-19 ketika Selangor antara negeri yang mencatatkan angka kes positif Covid-19 harian tinggi selain Sabah dan Kedah.

“Saringan kedua saya Ahad lalu (4 Oktober) juga negatif. Tapi demi penjagaan lebih saya asingkan diri untuk cukupkan 14 hari,” ujarnya.

Malam kelmarin, beliau memohon maaf terpaksa keluar dari kuarantin untuk menyelesaikan isu pencemaran yang memberi kesan kepada rakyat Selangor.

“Namun saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai ‘face shield’, ‘face mask’ juga kedua-dua ujian saringan saya menunjukkan keputusan negatif,” katanya lagi.

Bagaimanapun, rata-rata komentar warganet berpendapat Amirudin boleh memanfaatkan sidang video selain urusan tersebut buat masa ini boleh diserah kepada Exco berkaitan.

COMMENTS