MCA terkilan dengan laporan media mengenai pemecatan Annuar Musa sebagai setiausaha agung Barisan Nasional (BN) berikutan tindakan itu tidak pernah dirunding dalam mesyuarat parti komponen.
“Pimpinan tertinggi MCA hanya mengetahui perkara ini melalui laporan media dan ia tidak pernah dirundingkan sesama parti komponen dalam BN mahupun diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN,” katanya dalam kenyataan.
“Sebarang pelantikan ke jawatan dalam BN perlu dibuat berlandaskan perlembagaan BN dan dibentangkan serta dipersetujui secara konsensus dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
“Begitu juga dengan sebarang pemecatan jawatan seperti setiausaha agung dan bendahari agung BN,” katanya.
Terdahulu, Annuar dilaporkan dipecat sebagai setiausaha agung BN serta wakil UMNO dalam sekretariat Muafakat Nasional, digantikan dengan Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan.
Annuar yang dilihat mesra Perikatan Nasional (PN) dan PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin kerap menghadapi kritikan pemimpin UMNO tertentu yang melihat beliau semakin cenderung mempertahankan PN dan mengabaikan kepentingan UMNO.
sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/05/pemecatan-annuar-tak-pernah-dirunding-kata-mca/