Media asing dedah projek Forest City di Johor paling tidak berguna di dunia

Forest City yang terletak di Johor Bahru telah memasuki senarai Most Useless Megaprojects in the World oleh saluran YouTube Top Luxury. Saluran yang mempunyai lebih 200,000 pengikut itu telah menyenaraikan lima projek yang tidak memberi keuntungan dan paling tidak berguna di dunia.

Forest City merupakah hartanah serba mewah dan elit yang terletak di Mukim Gelang Patah, Johor dan mempunyai keluasan sehingga 1,370 hektar. Diumumkan pada tahun 2006, projek itu diletakkan di bawah China’s Belt and Road Initiative dan dijangka siap pada 2035 dengan kos sebanyak USD$ 100 bilion.

Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan diperkenan oleh Baginda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail.

Menurut Top Luxury, projek ini dibiayai oleh China dan rakyat China mendapat kelebihan untuk memiliki sebahagian perumahan di Forest City. Disebabkan itu, sebahagian nama jalan dan papan tanda ditulis di dalam bahasa Cina, manakala terdapat juga sekolah yang dibina di sekitar Forest City menawarkan kursus bahasa Mandarin.

Tambah saluran itu lagi, pada 2019 sahaja, hampir 80% pemilik rumah di Forest City adalah mereka yang datang dari China.

“Rakyat Malaysia tidak mampu untuk membeli pangsapuri ini kerana harga hartanah ditetapkan dengan hanya memikirkan pasaran China. Kemasukan pelabur China ini telah menyebabkan bantahan orang ramai dengan [mereka yang] menentang projek ini menggelarnya sebagai bentuk penjajahan baharu. Jadi selepas bertukarnya kepimpinan,

Perdana Menteri Mahathir Mohamad melarang warga asing memiliki hartanah di Forest City,” kata laporan itu.

Kesan lain mengapa projek ini tidak berjaya adalah berlakunya pandemik COVID-19 di mana kebanyakan pelabur mula menarik diri. Pada awal 2020 sahaja, difahamkan bahawa kurang dari 500 orang yang berpindah masuk ke Forest City. Ia angka yang sangat rendah memandangkan Forest City dibina untuk memuatkan hampir 700,000 orang.

Manakala jurujual memberitahu Top Luxury bahawa kurang dari 10 rumah yang berjaya dijual di sana sejak tahun lalu.

“Forest City mungkin terlalu bercita-cita tinggi untuk dimulakan, terlalu futuristik untuk benar-benar dicapai dan mencabar dari segi politik untuk berjaya dalam masa terdekat. Adalah selamat untuk mengandaikan bahawa walaupun berbilion dilaburkan, Forest City pada masa ini merupakan projek mega yang tidak berguna,” kata Top Luxury.

Selain Forest City, projek Interstate H-3 di USA Hawaii, projek Ciudad Real Central Airport di Spain, projek Naypyidaw di Myanmar dan Yucca Mountain Nuclear Waste Repository turut memasuki senarai megaprojek yang tidak berguna.