Pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 dari London ke Singapura dilapor naik dan menjunam beberapa kali akibat dibadai gelora udara (turbulent) ekstrem secara tiba-tiba semalam.
Seramai 211 penumpang pesawat SIA SQ321 itu berdepan dengan keadaan menakutkan sepanjang mengalami lebih daripada satu minit gelora udara itu pada ketinggian kira-kira 11,300 meter di atas Myanmar.
Menurut pakar penerbangan dari Pusat Khidmat Pentadbiran Lautan and Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Alvin Lie, kes gelora udara dialami oleh SIA sebagai sangat melampau dan amat jarang berlaku.
Jelasnya, SQ321 berkemungkinan besar berhadapan dengan keadaan yang disebut sebagai ‘clear air turbulence’ (CAT) melihat kepada kesan terhadap pesawat berkenaan.
Seramai 16 rakyat Malaysia dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 dari London ke Singapura berdepan detik cemas itu.
Mereka adalah antara 211 penumpang pesawat SIA SQ321 yang terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok, Thailand pada jam 3.45 petang waktu tempatan.
Singapore Airlines (SIA) dalam kemaskini menerusi Facebook rasminya memberitahu sehingga jam 5.05 pagi tadi, 79 penumpang dan enam kru dari pesawat itu berada di Bangkok.
Menurut SIA lagi, mereka termasuklah yang menerima rawatan perubatan.
Memetik Agensi, enam penumpang yang mengalami kecederaan serius dan berada dalam status kritikal di Hospital Samitivej Srinakarin Bangkok.
Selain Malaysia, terdapat 41 penumpang dari Singapura, United Kingdom (47), Australia (56), Kanada (dua), Jerman (satu), India (tiga), Indonesia (dua), Iceland (satu), Ireland (empat), Israel (satu), Myanmar (dua), New Zealand (23), Filipina (lima), Korea Selatan (satu), Sepanyol (dua), dan AS (empat) dalam penerbangan.
Sementara itu, seorang penumpang lelaki Britain berusia 73 tahun meninggal dunia di dalam pesawat, dipercayai akibat serangan jantung.