Menakutkan! Satu nyawa mela­yang setiap sejam, Aidilfitri elak terkorban di jalan raya

Sebanyak 83 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang 96 jam Op Selamat ke-22 bermula 8 April lalu sehingga 11 April.

Ini bermakna satu nyawa mela­yang bagi setiap sejam pada Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Ia mencatatkan purata 20 kematian sehari dalam tempoh empat hari Op Selamat ke-22 dilancarkan.

Lebih membimbangkan, secara purata sebanyak 1,472 kemalangan berlaku sehari apabila 5,891 kes kemalangan dilaporkan dalam tempoh sama.

Jumlah itu menunjukkan sebanyak 61 kemalangan berlaku dalam tempoh sejam atau satu kemalangan selang seminit.

Menurut statistik laporan ha­rian kemalangan dan kematian jalan raya dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada Isnin, 8 April lalu terdapat 14 kematian daripada 1,683 kemalangan jalan raya, diikuti 18 kematian dan 1,631 kemalangan pada 9 April.

Jumlah kematian meningkat mendadak pada 10 April lalu yang juga merupakan hari raya pertama apabila 35 kematian dica­tatkan melibatkan 1,289 kemalangan di seluruh negara.

Pada 11 April, sebanyak 16 kematian dicatatkan melibatkan 1,288 kemalangan di seluruh negara.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nasri Omar berkata, mengekori kenderaan terlalu dekat dan tidak nampak objek dari arah hadapan atau sama arah adalah antara punca berlakunya kemalangan jalan raya.

“Selain itu, cuai ketika keluar masuk simpang jalan, ubah haluan, memotong atau sedang memotong.

“Leka atau mengantuk serta keletihan turut boleh menjadi punca kepada kemalangan yang direkodkan ini,” jelas beliau, lapor Kosmo!

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah tersebut berkemungkinan menurun disebabkan orang ramai berehat sebelum balik ke ibu kota.

Sehubungan itu, bermula 12 April, beliau sedang giat mengatur gerak pasukannya untuk menumpukan kepada pergerakan pulang orang ramai ke ibu kota.

“Hari ini (semalam) akan ada pergerakan balik ke ibu kota. Insya-Allah kita doakan dipermudahkan dan segalanya dalam keadaan baik,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar kesemua pengguna merancang dahulu pergerakan terutamanya jika perlu melakukan perjalanan yang jauh.

Beliau menambah, ia termasuk mengenal pasti lokasi yang perlu berhenti untuk berehat jika perlu menempuh perjalanan melebihi masa daripada perjalanan biasa.

“Semua pengguna jalan raya bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan selama berada di dalam pergerakan lalu lintas tanpa mengira di mana jua lokasi.

“Jalan raya bukan tempat untuk mengejar masa atau menunjukkan kehebatan pemanduan tetapi satu medium penting untuk perhubungan dari satu lokasi ke satu lokasi,” ujarnya.

Pada 6 April lalu, PDRM dilapor melaksanakan Op Selamat ke-22 dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ sempena Aidilfitri tahun 2024 bermula 8 April sehingga hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dipetik berkata, pengguna jalan raya diingatkan memandu dengan sabar, berhemah dan bertanggungjawab sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman.

BACA JUGA Berkat kerajaan Madani, KL nombor ke-73 bandar raya paling pintar di dunia