Menantu kepada Presiden Pas yang juga anak MB Perlis, Mohd Syafeeq Mohd Shukri hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM19,505.10.
Mohd Syafeeq, 35, didakwa melakukan tuntutan palsu berkaitan penyediaan minuman untuk kegunaan Raja Perlis yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, pada Februari lalu.
Menurut dokumen arahan pembayaran bertarikh 19 Februari tahun ini, Mohd Syafeeq didakwa telah membekalkan air minuman kepada Raja Perlis dengan kos keseluruhan berjumlah lebih RM19,000.
Namun, sebenarnya tiada sebarang air minuman yang dibekalkan kepada Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail seperti yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan.
Tertuduh, yang juga pemilik syarikat, mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah serta meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Dokumen palsu yang dikemukakan tertuduh dipercayai mempunyai kepentingan dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ia mengandungi butiran palsu yang dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya.
Oleh yang demikian, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai tuntutan palsu tersebut atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kes ini dijangka akan menjadi perhatian umum memandangkan tertuduh merupakan anak kepada seorang figura politik terkenal di negeri Perlis.
baca; “Dah sampai terlanjur tapi taktahu rupanya dia suami orang, bila bagitahu bini dia muka relax je”