Setiap kali Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menang pilihan raya sebagai Ahli Parlimen, dia perlu mengulangi sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan.
Namun, Ahli Parlimen Marang itu boleh pula menganggap Perlembagaan negara ini sebagai hasil tinggalan penjajah yang menipu umat Islam dan ada banyak ‘bom jangka’.
Kenyataan Hadi yang dilihat satu bentuk hasutan mengajak rakyat membenci Perlembagaan itu turut menyebabkan ‘orang kuat’ PM bersuara.
Kamil Munim yang merupakan Setiausaha Politik Menteri Kewangan tegas menyifatkan Hadi itu sendiri yang telah mencipta terlalu banyak bom jangka.
Ikuti hujah balas KAMIL MUNIM bertajuk “Islam Hadi yang mencabar Perlembagaan” dalam mematahkan kenyataan jahat dan berbaur hasutan daripada Presiden Pas itu:
Sudah terlalu banyak bom jangka yang dicipta Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah meletup.
Minda Presiden Pas sudah menjadikan menghisab dan memadankan dalil-dalil mulia untuk mengeji seteru politik sebagai acara mingguan.
Letupan 3R kali ini bukan sahaja mengeruh integriti Institusi Kehakiman dan Majlis Raja-raja.
Malah, seruan ini memperalatkan agama sebagai medium asing dari Perlembagaan Persekutuan.
Seruan mencabar Perlembagaan Persekutuan ini tidak terhad kepada ego Presiden Pas merendahkan diri di sebalik ayat suci Al-Quran dalam bicara keadilan dalam Islam.
Keadilan sebenarnya tidak boleh ditafsir sehala dari lensa dan kedudukan pihak-pihak yang terlibat.
Mereka mempunyai konflik, kepentingan dan kemahuan masing-masing. Mahkamah tidak akan pernah boleh memuaskan hati semua pihak.
Sebab itu kita sering sahaja melihat, mereka yang sebelum ini memuji ketegasan mahkamah hari ini menghamun institusi tersebut. Begitulah sebaliknya.
Ekstremisme aliran Hadi
Kejumudan ini memaksa pengasingan agama dengan sistem perundangan.
Akhirnya, ia sekali lagi mengembalikan persoalan masyarakat kepada stereotaip ekstremisme agama yang dibawa aliran Hadi.
Bagi Presiden Pas, solusi kesempurnaan Islam versi Pas adalah jawapan kepada semua persoalan tanpa mengambil kira fikrah penubuhan negara, jauh sekali demografi.
Apalah sangat kontrak sosial dan kestabilan negara bagi mereka?
Begitu jelas pelanggaran yang dilakukan dalam perang saraf Hadi hanya untuk mereka berkuasa.
Ketika demokrasi tidak berpihak kepada Pas, begitu lantang Tuan Guru menjenamakan Perlembagaan Persekututan sebagai muslihat yang diterima Tanah Melayu demi kemerdekaan.
Ironinya, Perlembagaan ini tidak pula menipu umat Islam ketika komrad mereka memegang kuasa.
Tabiat gopoh memberi ulasan keras sebegini adalah satu ketagihan yang memakan diri.
Tidak menghairankan api kegamaan ini sengaja dimarakkan susulan Ahli Parlimen Marang itu menyindir keputusan Mahkamah Persekutuan.
Sebelum ini, panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman untuk membatalkan 16 peruntukan enakmen jenayah syariah Kelantan.
Bahkan, secara terbuka juga beliau mempertikai titah Sultan Selangor dengan alasan sekadar memberi peringatan kepada umat Islam untuk mempertahankan akidah.
Dakwaan berkaitan konflik kepentingan tersebut tidak lebih daripada sekadar percubaan mewujudkan prejudis dan persepsi ke atas hakim yang berwibawa.
Lalu keluarlah segala macam maksim undang-undang seperti ‘justice delayed is justice denied’. Dan dibalas pula dengan ‘justice hurried is justice buried’.
Biar di pihak mana pun kita, kesemua ini menunjukkan bahawa isu undang-undang bukanlah isu yang pegun dan mudah.
Angkubah dan perkiraan yang diteliti adalah pelbagai. Peruntukan dan asas undang-undang harus jelas. Bukti dan fakta mesti tidak meragukan.
Sentimen dan perkara-perkara yang tidak sepatutnya tidak boleh diheret masuk sama sekali.
Persoalan perundangan yang diajukan adalah jelas; berkaitan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri dalam menggubal undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Persoalan tersebut telah dijawab dengan jelas dan tuntas. Tidak sedikit pun menghakis keimanan dan keyakinan muslim yang waras terhadap usaha memartabatkan institusi mahkamah syariah.
Namun ‘ancaman’ yang dipamerkan jelas menunjukkan sikap hipokrasi segelintir kelompok pimpinan yang cuba mencipta cerita dongeng.
Persoalannya, apakah enakmen syariah di Kelantan lebih suci berbanding di negeri Selangor seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2021?
Di mana jeritan dan lolongan “pertahankan syariah” pada ketika itu?
*KAMIL MUNIM merupakan Setiausaha Politik Menteri Kewangan juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia.