Menipu lebih RM58,000, bekas pemain badminton kebangsaan didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan memperdaya seorang lelaki berkaitan pertaruhan dalam talian dan pelaburan tidak wujud pada 2016.
Bekas pemain badminton kebangsaan, Lin Woon Fui, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Mengikut kertas pertuduhan, Woon Fui didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 39 tahun bahawa dia boleh melipatgandakan wang dengan cara pertaruhan dalam talian, yang mendorong mangsa memindahkan wang berjumlah RM28,029 ke dalam akaun milik isteri tertuduh.
Tertuduh juga didakwa memperdaya mangsa sama dengan pelaburan saham yang diketahui tidak wujud oleh tertuduh, sehingga mendorong lelaki itu memindahkan wang berjumlah RM30,000.53 ke dalam akaun bank milik tertuduh lapor Berita Harian.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada Jun dan November 2016 di Setia Alam, Shah Alam, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda, bagi setiap pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras, menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 hari bulan setiap bulan.
Bagaimanapun peguam, B Chandrateeban yang mewakili Woon Fui, memohon mahkamah mengenakan ikat jamin rendah ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh adalah penanggung utama keluarga dan memberi kerjasama baik sepanjang tempoh siasatan.
“Pihak kami mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan,” katanya.
Muhamad Anas kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.
Mahkamah juga menetapkan 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Woon Fui pernah memenangi pingat gangsa dalam acara berpasukan pada Sukan Asia 2006.
Baca Juga: Yasin terlepas hukuman gantung sampai mati, ucap terima kasih pada yang menyokong
Baca Juga: Siapa ‘Tan Sri’ yang disebut jemaah haji terkandas di KLIA?