Menteri dakwa rakyat tidak serius amaran cuaca punca terperangkap banjir

Masyarakat tidak mengambil serius pengumuman dan amaran cuaca kerana berpendapat banjir hanya berlaku membabitkan kawasan Pantai Timur.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu menyebabkan apabila berlaku bencana alam seperti banjir di kawasan lain selain Pantai Timur ramai yang tidak bersedia menghadapinya.

Katanya, dari sudut hebahan, setiap kali berita utama di semua stesen televisyen sudah dimaklumkan mengenai amaran cuaca ini.

“Bahkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menyediakan pelbagai aplikasi yang memberi tahu mengenai cuaca, angin, ombak laut dan semua keadaan cuaca negara.

“Namun berapa ramai yang melihat dan mengambil berat. Sekarang semua mula lihat kepentingan ramalan cuaca ini,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas laporan yang menyatakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hanya mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan di Lembah Klang dan beberapa kawasan lain, namun tidak ada sebarang peringatan mengenai banjir .

Dalam masa yang sama, beberapa pakar meteorologi dan alam sekitar mencadangkan MetMalaysia memperkemas pembangunan dan penyelidikannya untuk berhadapan dengan kemungkinan cuaca lebih ekstrem.

Tuan Ibrahim mengakui negara perlu sistem yang lebih canggih bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada ramalan yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.

“Teknologi sentiasa berubah, namun apa yang ada perlu ditambah dengan sistem yang lebih canggih. Ia juga sebahagian dari usaha menambah keyakinan awam,” katanya.

sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/903456/kena-ambil-serius-amaran-keadaan-cuaca

COMMENTS