Saham dimiliki Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki bukan mahal dan mampu dimiliki kebanyakan orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dipetik dari FMT, Wan Junaidi berkata, saham itu dibeli pada 2016 berharga RM330,000 bagi sejuta saham atau kira-kira 30 sen hingga 33 sen sesaham dan saiz dipegangnya sudah terkumpul sejak bertahun-tahun.
“Berdasarkan harga awal, ia bukan saham yang mahal untuk diperoleh. Saya percaya ia mampu dimiliki oleh kebanyakan kita. Bagi peniaga pasaran saham yang aktif, ini perkara biasa untuk meningkatkan pegangan saham secara beransur-ansur dari semasa ke semasa terutama apabila melihat potensinya.
“Malah, ketika ini juga, tiada undang-undang atau peraturan yang menghalang mana-mana penjawat awam daripada memperoleh saham dalam syarikat senaraian awam.
“Bawah Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, kakitangan kerajaan hanya dilarang berdagang dalam pasaran niaga hadapan di dalam dan luar negara, sementara mereka yang memiliki saham dalam syarikat senaraian awam dikehendaki mengisytiharkannya sebagai aset,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, mengenai tuntutan meletakkan SPRM bawah Parlimen, Wan Junaidi berkata, ia bukan perkara mudah dan perlu diteliti dengan mendalam.
Katanya, untuk memastikan SPRM berkesan, ia perlu beroperasi secara bebas dan penubuhan SPRM bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) memastikan kebebasan suruhanjaya dan ini tidak boleh dikompromi dalam apa cara sekalipun.
“Dalam isu ini, kerajaan memberi jaminan bahawa siasatan terhadap Azam dilakukan mengikut undang-undang.
“Sebenarnya, kes ini sedang diteliti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan polis. Pada masa sama, pandangan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) juga akan diambil kira.
“Saya sedar ramai menuntut supaya tindakan diambil terhadap Azam. Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan semua bahawa perkara ini masih dalam siasatan dan kita hanya boleh membuat keputusan berhubung perkara itu setelah siasatan selesai oleh SC dan polis.
“Sementara siasatan ini selesai, saya berharap semua orang bertenang kerana kami sedaya upaya menyelesaikannya dengan cara yang terbaik,” katanya.