Kenaikan harga barangan sekarang masih normal, kata Menteri.Trend peningkatan harga barangan ketika ini disifatkan masih lagi dalam situasi normal terutama melibatkan barangan makanan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemantauan harga barangan melibatkan 480 jenis barangan dan 1,583 premis secara harian, mingguan dan bulanan.
Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati, kebenaran merentas negeri bukan menjadi punca utama kenaikan harga secara tidak terkawal oleh peniaga, tetapi kerancakan ekonomi akibat pembukaan banyak sektor menjadikan permintaan bekalan melebihi penawaran.
“Ini menyebabkan tekanan harga akibat persaingan yang kuat mendapatkan bekalan.
“Keadaan ini dijangka bersifat sementara kerana penstabilan bekalan dilakukan sebelum kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia mengambil masa untuk memenuhi permintaan sedia ada dan luar biasa yang berlaku ketika ini,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan seluruh negara menyaksikan peningkatan harga barangan keperluan harian, peralatan binaan, input pertanian dan makanan yang memberi kesan kepada pelbagai pihak di peringkat pembekal, kontraktor, peniaga serta pengguna.
Alexander berkata, sehingga bulan lalu, sebanyak 788,674 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara dengan 9,953 kes kesalahan seperti di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Cap Dagangan 2019, Akta Timbang & Sukat 1972 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Jelasnya, sebanyak 5,348 notis di bawah AKHAP 2011 dikeluarkan kepada peniaga bagi menyiasat sekiranya terdapat peniaga yang cuba mengambil kesempatan dengan mencatut.
Katanya, 62 kes di bawah AKHAP 2011 juga dihasilkan, dua kes dikenakan kompaun, manakala selebihnya masih di dalam siasatan.
Beliau berkata, kebanyakan faktor berlaku kenaikan harga terutamanya bagi makanan adalah disebabkan faktor cuaca, kos bahan mentah dan permintaan yang melebihi penawaran.
Selain itu katanya, kenaikan harga baja dan racun pula adalah bersifat global dan seluruh dunia merasai kesan kenaikan harga bahan kimia tersebut.
Jelasnya, penguatkuasaan turut dilakukan melibatkan bahan binaan di bawah Op Catut 8.0 pada 7 hingga 15 April lalu.
Daripada pemeriksaan itu, 120 notis bertulis melibatkan 176 jenis barangan dikeluarkan dan satu kes dihasilkan.
Katanya, ini menunjukkan kenaikan harga bahan binaan tersebut adalah kerana kenaikan kos input dan bukanlah aktiviti mengambil untung.
sumber : https://www.inforakyat.net/kenaikan-harga-barangan-sekarang-masih-normal-kata-menteri/