Meski dirundung Covid-19, gaji dijangka naik 2021

Gaji dijangka mengalami unjuran peningkatan sekitar 4.5 peratus pada 2021, meskipun ekonomi kini berdepan kemelesetan susulan Covid-19, berdasarkan tinjauan pendapatan keseluruhan (TRS) 2020 oleh firma rundingan sumber manusia, Mercer Malaysia.

Ketua perunding Mercer Malaysia, Koay Gim Soon berkata data itu didapati menerusi langganan tahunan pelanggan mereka, yang kemudiannya dianalisis dan disiarkan.

Kata Koay, meskipun gaji dijangka meningkat pada 2021, ia dijangka berlaku pada kadar yang lebih rendah daripada biasa.

“Kelazimannya, untuk tiga ke lima tahun kebelakangan ini, nilai peningkatan (gaji) adalah stabil, berlegar di sekitar lima peratus.

“Unjuran untuk (bidang) perniagaan pada 2020 dan 2021 adalah agak stabil, unjuran awal oleh TRS dianggarkan pada sekitar lima peratus antara April dan Julai tahun ini.

“Tetapi dengan wabak yang melanda kita pada akhir suku ketiga … jadi nilai kenaikan sebenar adalah lebih rendah menjadi 4.7 peratus (untuk tempoh antara April dan Jun tahun ini).

“Dalam tinjauan terbaru yang kita lakukan, sebenarnya untuk tahun depan, diunjurkan yang nilai kenaikan gaji secara puratanya berlegar pada (kadar) 4.5 peratus. Ini kali pertama dalam masa lima tahun ia jatuh ke bawah lima peratus,” jelasnya dalam taklimat media terhadap TRS 2020.

Tinjauan itu dilakukan antara April dan Jun tahun ini, dengan tinjauan tambahan dilakukan pada Julai dan Ogos.

Pemangku ketua pegawai eksekutif (CEO) Mercer Malaysia Godelieve van Dooren berkata sektor perniagaan boleh menjangkakan perkembangan baik memandangkan ekonomi dijangka berkembang pulih dalam julat 5.5 peratus ke lapan peratus pada 2021.

Tambahnya, sektor perniagaan mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” untuk strategi pampasan mereka, bergantung pada perkembangan wabak Covid-19.

“Ini ibarat berita yang dialu-alukan oleh pekerja memandangkan inflasi yang perlahan akan memacu peningkatan gaji sebenar.

“Dari satu segi yang lain, kerana ketidakpastian ini, syarikat-syarikat mungkin akan menangguhkan peningkatan gaji, atau mengurangkan lagi peruntukan, bergantung kepada segmen industri dalam syarikat berkenaan.

“Di akhirnya, kemampuan tetap menjadi kriteria penting untuk menentukan peruntukan gaji,” tambahnya.

Sementara peningkatan gaji kekal stabil untuk industri berteknologi tinggi, barangan pengguna, sains hayat dan kimia, kata Koay, penurunan terbesar dalam peningkatan gaji dilaporkan dalam industri runcit, pengeluaran dan logistik.

Industri berteknologi tinggi, sebagai contohnya, mempunyai peningkatan gaji yang stabil kerana adanya pertumbuhan permintaan yang stabil untuk teknologi, antaranya disebabkan peralihan kepada amalan kerja jarak jauh dan transformasi digital dalam perniagaan, katanya.

Sementara itu, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila industri runcit berkaitan gaya hidup mencatatkan penurunan memandangkan pola penggunaan pelanggan berubah ekoran kemampuan berbelanja yang menurun selain penurunan aktiviti santai gara-gara wabak Covid-19.

“Bagaimanapun, adalah penting untuk diketahui bahawa kesan dalam industri-industri mungkin tak sekata. Contohnya dalam (industri) barangan pengguna, barangan pengguna tahan lama dan minuman seperti alkohol, mungkin mengalami tekanan dahsyat, yang mungkin memberi kesan kepada peningkatan gaji dalam sektor yang lebih teruk terkesan,” kata Koay.