Minum air kunyit rahsia nenek umur 102 tahun ini sihat, tak pernah masuk hospital

Siapa sangka, seorang nenek berjaya kekal sihat di usianya yang mencecah 102 tahun walaupun tidak pernah mengambil sebarang ubat.

Tiada masalah kesihatan, nenek dari Gemas, Negeri Sembilan yang dikenali sebagai Halipah Hasan itu hanya mengalami penurunan fungsi penglihatan disebabkan faktor usia.

Difahamkan, Halipah sudah lama mengamalkan gaya hidup sihat mengikut cara tradisional berikutan dirinya mencari rezeki sebagai tukang urut dan bidan kampung.

Cucu kepada Halipah iaitu Norazizah Mat Ripin memaklumkan, warga emas itu tidak gemar mengambil ubat moden sekiranya dijangkiti deman atau badan tidak sihat. 

Sebaliknya, nenek yang lebih mesra dipanggil Uwan itu hanya menggunakan petua orang-orang dulu selain suka meminum air kunyit dan juga halia, lapor Berita Harian.

“Uwan banyak amalkan petua orang dulu-dulu dan antara yang menjadi amalannya ialah minum air kunyit dan halia, tapi sejak tiga tahun lalu dia tidak lagi meminumnya.

“Uwan juga tidak makan ubat moden jika demam atau badan tak sihat. Dia hanya minum air suam atau makan telur ayam kampung. Saya difahamkan uwan tidak pernah dimasukkan ke hospital

“Dia juga tidak suka ke hospital. Bagaimanapun, Uwan tidak mampu berjalan kerana kedua-dua belah pahanya patah ketika berusia 90 dan 99 tahun,” katanya memetik Berita Harian.

Menurut Norazizah, neneknya masih kelihatan sihat meskipun perlu dibantu untuk melakukan urusan harian memandangkan kakinya tidak lagi berfungsi seperti biasa.

Lebih mengagumkan, pakar perubatan mendapati tiada masalah kesihatan kronik yang dialami oleh nenek berkenaan selepas satu pemeriksaan dilakukan ke atasnya.

“Tahun lalu saya bawa Uwan buat pemeriksaan kesihatan. Doktor terkejut kerana dia tidak sakit apa-apa. Alhamdulillah, kencing manis dan darah tinggi pun Uwan tiada.

“Cuma, apabila sudah tua matanya mula kabur dan ada kalanya dia tak ingat. Tetapi masih boleh bersembang dan bergurau. Uwan juga kelakar orangnya,” ulasnya lagi.

Mengulas lanjut, Norazizah memberitahu bahawa neneknya tidak memilih makanan namun gemar menyantap hidangan udang masak lemak cili api dan meminum teh susu.

Tidak mempunyai sebarang pantang larang, nenek Norazizah bagaimanapun sering berpesan kepada cucunya untuk mengurangkan minum air sejuk dan memakan jeruk.

“Biasanya kalau sarapan, Uwan akan minum teh susu dengan biskut kering. Makan tengah hari pula pada jam 11 pagi. Kemudian dalam jam 1 atau 2 petang, dia akan makan buah.

“Manakala pada jam 4 petang, nenak sekali lagi akan memakan biskut kering dengan teh susu sebelum makan malam pada jam 7 malam.” Jelasnya.

Baca juga: Terkejut bila tahu identiti sebenar bomoh fitnah Zulfarhan Zulkarnain, rupa-rupanya..