BEKAS jurulatih Lee Zii Jia, Datuk Misbun Sidek, bingung dengan tindakan pemain perseorangan itu namun mengharapkan ada penutup yang baik agar tidak memberi kesan yang buruk buat badminton negara.
Memetik dari Astro Awani, ia susulan tindakan Zii Jia yang meletak jawatan baru-baru ini, diikuti keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggantungnya selama dua tahun daripada sebarang pertandingan antarabangsa.
“Segalanya masih belum terlambat kerana ia merupakan salah satu tindakan daripada BAM.
“Mereka ada hak kerana telah memberikan kebajikan kepada pemain sejak muda dan tiba-tiba anda mengambil langkah untuk keluar daripada persatuan dan tindakan tersebut adalah melanggar akta yang telah ditetapkan.
“Saya berharap dia dapat memikirkannya semula dan jika mahu menjadi seorang pemain yang hebat, dia harus kembali ke pangkal jalan.”
Misbun yang kini memegang kerusi Pengarah Pembangunan Remaja ditemui ketika sesi pencarian bakat BAM di Bukit Kiara.
Sesi pemilihan itu bertujuan mencari pemain bawah 14 dan 16 tahun, dan melibatkan 84 orang pemain dari seluruh negeri.
Hanya 16 tempat sahaja ditawarkan untuk diserap ke dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Isu penggantungan Zii Jia oleh BAM meraih perhatian barisan pemain ternama antarabangsa seperti Anders Antonsen, Lauren Smith, Chirag Shitty, serta bekas-bekas pemain negara.
Bukan hanya mereka yang bersuara, malah peminat sukan badminton tanah air turut meluahkan rasa tidak puas hati atas hukuman yang dikenakan kepada Zii Jia.