Misteri Kubur Panjang di Pendang berpunca daripada pergaduhan adik beradik yang bersabung ayam. Ini kisahnya…

Misteri Kubur Panjang di Pendang menjadi tanda tanya bagaimana asalnya cerita ini namun ada orang kata ianya berpunca daripada berbalahan adik beradik yang bersabung ayam.

Adakalanya pergaduhan antara adik-beradik membawa kepada kejadian tidak diingini, termasuk berdendam sehingga berlaku kejadian jenayah.

Agama Islam menegaskan kepentingan menjaga silaturahim bukan sahaja sesama ahli keluarga, malah sesama manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan),” — Hadis Riwayat Muslim

Memetik blog Pejabat Penghulu Mukim Rambai, kisah di mukim Rambai, dekat Pendang, Kedah mungkin boleh dijadikan pengajaran kepada orang ramai supaya menjaga silaturahim sesama adik-beradik.

Di sana, terdapat sebuah kejadian misteri yang mana wujudnya sebuah kubur yang dikenali sebagai Kubur Panjang.

Tiada siapa mengetahui batu nesan bergerak

Sehingga kini, tiada siapa mengetahui sebab dan bagaimana batu nesan di kubur berkenaan boleh ‘bergerak’ dari tempat asalnya hingga menambah ukuran panjang kubur itu.

Sukar dipercayai apabila kubur yang suatu ketika dulu bersaiz biasa, namun keadaannya berubah apabila jarak antara dua batu nisan di bahagian kepala dan kaki memanjang sehingga mencecah 8.6 meter.

Menurut kepercayaan orang dahulu kala, kubur panjang itu didakwa mempunyai kaitan dengan janji yang tidak ditepati.

Lebih 200 tahun lalu, terdapat dua beradik lelaki yang berasal dari Pattani, Thailand telah berhijrah ke Kampung Budi di mukim Lesong, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Kubur Panjang.

Dua beradik tersebut mempunyai ilmu kebatinan dan merupakan guru silat yang disegani, sehingga salah seorang daripadanya dilantik menjadi ketua kampung.

Syarat bersabung ayam

Mereka dipercayai rajin bercucuk tanam dan bersawah sehingga mampu mengumpul harta yang banyak.

Setiap kali selepas musim menuai, penduduk mengadakan pertandingan menyabung ayam dan lokasi paling terkenal untuk kegiatan itu adalah di Kampung Mempelam Susu, dekat daerah sama.

Pada suatu hari, pertandingan menyabung ayam itu diadakan secara besar-besaran dan seorang penduduk berjaya menjadi juara, selepas mengalahkan ayam sabung yang lain.

Setelah kemenangan itu, dua beradik itu dicabar supaya bertanding dengan juara berkenaan.

Dua beradik yang masing-masing membawa ayam sabung itu enggan berlawan kerana tujuan asal mereka ke situ hanya untuk menyaksikan pertandingan itu.

Namun, selepas didesak penduduk akhirnya salah seorang daripadanya bersetuju untuk berlawan, sebelum berjaya mengalahkan pencabar berkenaan.

Selepas kemenangan itu, orang ramai meminta dua beradik tersebut bersabung ayam sesama sendiri, dan setelah didesak dua beradik tersebut bersetuju dengan cabaran tersebut.

Mereka memberi syarat bahawa salah seorang daripada mereka yang menang dilarang menyorak individu yang kalah.

Dalam pertandingan itu, ayam si adik telah kalah, manakala abangnya yang terlalu teruja terlupa kepada perjanjian tersebut hingga bersorak kegembiraan bersama penonton yang menyaksikan perlawanan itu.

Akibat malu, adiknya mencabut keris lalu menikam dada abangnya.

Sebelum meninggal dunia, abangnya berpesan kepada adiknya supaya menjaga anak dan isterinya dengan baik.

Adiknya yang kesal dan sedih dengan peristiwa hitam itu bertindak membunuh diri dengan menikam dirinya menggunakan keris yang sama.

Kubur semakin panjang

Ketika mengusung jenazah untuk dikebumikan di Kampung Budi, penduduk terkejut apabila kedua-dua jenazah tiba-tiba menjadi semakin berat sehingga penduduk berhenti rehat beberapa kali.

Penduduk yang tidak mampu mengusung jenazah adiknya mengkebumikan di kawasan yang mereka berhenti, manakala jenazah abangnya dibawa ke Kampung Budi untuk disemadikan.

Apa yang menghairankan adalah apabila penduduk kampung menziarahi kubur adiknya pada keesokan harinya, kedudukan batu nsannya berubah hingga menjadikan kubur itu panjang.

Ukurannya yang sering berubah-ubah itu menjadikan kubur tersebut digelar Kubur Panjang sehingga kini. Sejauh mana kebenarannya wallhuaklam.

Pernah dahulu jika kubur itu diukur, ukurannya sering berubah-ubah sehingga menimbulkan rasa pelik dalam kalangan penduduk setempat. Sejak itu ia digelar sebagai ‘Kubur Panjang’ sehingga kini.

Kubur panjang ini ini memang terletak dalam kawasan perkuburan. Batu nisannya hanyalah batu sungai dan jika dilihat, memang ia panjang. Jarang ada kubur sepanjang itu. Kawasan tanah perkuburan ini terletak di pinggir jalan raya utama pekan Kubur Panjang berhadapan dengan balai polis Kubur Panjang.

Menurut seorang bekas penghulu di mukim tersebut, suatu ketika dahulu, kubur panjang itu sering dikunjungi pelawat dari dalam dan luar negara. Mungkin kerana saiznya yang panjang, kubur si adik mudah mendapat perhatian. Bagaimana pula dengan kubur si abang?

Kubur si abang terletak di Kampung Pulau Keramat, tidak jauh dari Kubur Panjang. Ia terletak di dalam kawasan semak samun dan saiznya biasa sahaja, berbeza dengan kubur si adik yang panjangnya menjangkau 17 hasta.

Baca juga: Sebenarnya letak air dan makanan panas boleh rosakkan peti sejuk. Kenapa? Abang ni tunjuk di mana kerosakkan boleh berlaku