“Mohon Mahathir hentikan serangan pada Anwar”, kata Ketua Pemuda Amanah

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohammad diminta berhenti mengkritik mahupun menyerang Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Permintaan itu disuarakan Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin susulan kenyataan Mahathir semalam yang antaranya mengkritik Anwar yang gagal membuktikan dakwaan memiliki majoriti yang “kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menyifatkan kenyataan itu sebagai mengeruhkan keadaan, Shazni berkata, Mahathir sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada soal gabungan besar pembangkang yang memerlukan kesepakatan semua pembangkang.

“Merealisasikan ‘grand coalition’ memerlukan kesepakatan semua pembangkang dan menuntut perdamaian antara dua tokoh besar, Mahathir dan Anwar untuk duduk semeja dan berunding.

“Lantas kami memohon kepada Mahathir untuk menghentikan serangan dan menerima tawaran Anwar untuk duduk berunding bersama PH dalam merangka hala tuju baru pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam acara Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) semalam, Mahathir yang merupakan pengerusi parti itu berkata sudah beberapa kali Anwar mendakwa memiliki sokongan tetapi tidak membuktikannya.

Dia juga mendakwa ramai penyokong Anwar sendiri memintanya untuk tidak membiarkan ahli Parlimen Port Dickson itu menggantikannya sebagai perdana menteri, ketika pentadbiran PH.

Terdahulu hari ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata sudah tiba masanya untuk PH bergerak ke depan dan melupakan soal kerjasama dengan Mahathir.

“PH perlu sedar bahawa penglibatan Mahathir yang cuba menunggang jenama ‘grand coalition’ hanya sekadar strategi pecah dan perintah yang sering dia gunakan, namun kali ini strategi itu sudah lapuk.

“Amat tidak masuk akal sekiranya ulang siar strategi lapuk ini mampu memperdaya dan memecah belah kesepaduan dan kesepakatan PKR dan PH,” kata ketuanya Akmal Nasir.

sumber: https://www.malaysiakini.com/news/557305?utm_source=mkini_desktop&utm_medium=website&utm_campaign=trending_feed_box&utm_content=my-most_read