UMNO di semua peringkat sedang memerhatikan perkembangan serta keputusan menteri dan timbalan menterinya sama ada akan menarik diri atau kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, ini termasuk 35 ahli Parlimen daripada parti itu yang masih belum diketahui sama ada akan terus menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau sebaliknya.
“Ikut cerita, betul atau tak betul belum diketahui, 35 ahli Parlimen ingin bersama Tan Sri Mahaidin (Muhyiddin) dalam kerajaan PN.
“Iaitu yang menteri atau timbalan menteri, mereka semua ingin berada dalam kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Ini selepas pertemuan di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur. Kata mereka, itu kerana mereka patuh kepada usul Perhimpunan Agung UMNO Malaysia (PAU) 2020 pada akhir Februari tahun ini,” katanya menerusi status terbaru yang dimuat naik di Facebooknya pada Ahad.
Difahamkan, majoriti ahli Parlimen UMNO yang mengadakan pertemuan di sebuah banglo di Jalan Bellamy pada malam Sabtu itu bersetuju mempertahankan resolusi yang diputuskan dalam PAU 2020 pada Mac lalu.
Perkembangan tersebut menunjukkan semua ahli Parlimen itu dikatakan akan terus menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.
Pertemuan di Jalan Bellamy yang dikatakan turut disertai seorang menteri, seorang timbalan menteri dan seorang ahli Parlimen yang juga ketua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menjadi tular dalam media sosial.
Mengulas lanjut, Shahrir yang juga veteran UMNO berkata, menteri dan timbalan menteri UMNO berada dalam kerajaan PN kerana Perdana Menteri percaya kepada mereka dan begitu juga sebaliknya.
“Jadi bagi mereka, apa ada hal dengan Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Perdana Menteri dan jemaah menteri lebih besar punca kuasa daripada MT UMNO. Akhirnya, engkau YB, ke aku YB? Aku menteri, engkau ada apa,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini, kira-kira seminggu selepas PAU 2020, menteri daripada UMNO menawarkan peletakan jawatan mereka kepada Perdana Menteri dan kerajaan PN.
Menurutnya, ada yang juga sudah menandatangani surat peletakan jawatan tanpa menunggu keputusan MT malah tidak berbincang bersama pemimpin tertinggi UMNO.
“Itu ialah tafsiran mereka terhadap usul PAU 2020, tawarkan peletakan jawatan menteri dan timbalan menteri mereka kepada Tan Sri Mahaidin selaku Perdana Menteri.
“Tawaran mereka itu ditolak Tan Sri Mahaidin. Mereka sepakat untuk kekal dalam jawatan masing-masing,” ujarnya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/147965/BERITA/Politik/35-ahli-Parlimen-UMNO-tarik-sokongan-atau-tidak