MP Umno dedah perangai buruk sebenar Nazri Aziz

Seorang Ahli Parlimen Umno hari ini menasihati Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar berhati-hati dengan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz yang menyatakan sokongan padanya.

Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub berkata, Nazri mempunyai reputasi menukar kesetiaan politik.

“Saya tiada masalah pun kalau dia nak sokong kerajaan PN dan perdana menteri kembali walaupun dia bersungguh-sungguh menentang Muhyiddin dulu bersama-sama dengan saya.

“Itulah Nazri. Flip flop. Dia boleh menyokong sesiapa sahaja dan boleh berubah menjadi lawan dengan sekelip mata,” kata Jazlan.

Jazlan berkata demikian sebagai respons kenyataan Nazri yang dilapor The Vibes sebagai menggambarkan Najib Razak sebagai “pembohong”.

Ini selepas Najib mempertikai jumlah sebenar ahli parlimen Umno yang bersetuju untuk menyokong PN.

Menurut Nazri, 40 ahli parlimen BN bermesyuarat pada 29 Julai dan semua yang hadir bersetuju bahawa “kami tidak keberatan menyokong PN, walaupun kami tidak menyokong Muhyiddin”.

Jazlan tidak mempertikaikan dakwaan Nazri berhubung pertemuan 29 Julai itu.

Dia menjelaskan bahawa pendirian yang diambil itu adalah karena maklum balas dari Yang di-Pertuan Agong kepada Muhyiddin selepas kerajaan tidak membahaskan ordinan darurat di Parlimen.

“Pada 30 Julai, apabila tersebarnya satu warkah sulit yang ditandatangani sendiri oleh Agong menjawab surat perdana menteri, barulah kita semua dapat tahu cerita sebenar di sebalik kemelut di antara kerajaan dan Istana Negara.

“Setelah meneliti warkah itu terbukti banyak penipuan kerajaan terbongkar dan dihebahkan kepada umum dengan naratif yang jauh berbeza.

“Justeru, bagi menjunjung titah KDYMM YDPA, Umno telah mengambil keputusan muktamad untuk menarik sokongan kepada kerajaan PN dan PM kerana tidak mahu bersekongkol dengan si penderhaka Raja,” kata Jazlan.

Oleh itu, kata Jazlan, Muhyiddin perlu “berhati-hati: terhadap Nazri.

“Kalau Najib ketika menjadi perdana menteri yang banyak berjasa dan berbudi kepada Nazri pun boleh dihina dan dicaci olehnya, sebesar mana sangatkah jasa Muhyiddin untuk mengawal Nazri dari berubah arah dan menikam belakangnya kembali,” katanya.

Antara akhir 2018 dan 2019, Nazri telah mengeluarkan kenyataan umum yang menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim. Dia juga sebelum ini terlibat dalam “Langkah Sheraton” pada Februari 2020 dan bergabung dengan kerajaan Muhyiddin.

Jazlan adalah ahli parlimen Umno pertama yang secara rasmi memutuskan hubungan dengan PN pada 9 Januari disusuli Nazri, dua hari kemudian.

Namun, dalam beberapa bulan kebelakangan ini Nazri menjadi pengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan merupakan antara pemimpin Umno yang mahu menjaga hubungan dengan Muhyiddin.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/586344