MRSM di Terengganu terbakar!

Seramai 58 orang pelajar terselamat selepas bangunan asrama lelaki di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Putra di Besut terbakar, lapor Sinar Harian.

Menurut balai polis Besut, kejadian berkenaan dilapor berlaku pada malam Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, kebakaran berkenaan melibatkan empat buah bilik di tingkat asrama itu dan berlaku sekitar jam 10.44 malam.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.44 malam sebelum mengerahkan 20 anggota serta pegawai bersama dua jentera dari BBP Besut dan BBP Jertih ke lokasi kejadian.

“Kita juga sekali lagi dihubungi dan diberitahu bahawa api tidak berjaya dipadam oleh pelajar dan pihak asrama menyebabkan ia semakin marak,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Tambahnya, kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

“Sebaik pihak bomba tiba, kesemua mangsa berjaya keluar daripada bangunan itu.

“Pasukan kita mengambil masa kira-kira 1 jam 40 minit untuk mengawal dan memadamkan sepenuhnya api di kawasan terlibat.

“Selain itu kita terpaksa memecahkan siling bangunan untuk memastikan kebakaran tersebut telah dipadam sepenuhnya terutama di bahagian bumbung bangunan,” kata Muhammad Azrul lagi.

Manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan pihaknya.