MT minta keluar dari kerajaan satu kesalahan, kena ikut keputusan PAU – Shahidan

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mengingatkan tidak ada mana-mana pihak, termasuk Majlis Tertinggi Umno yang boleh menolak keputusan perhimpunan agung parti (PAU).

“Keputusan PAU yang menjadi panduan kepada ahli Umno ialah sokong kerajaan PN sehingga parlimen dibubarkan. No Anwar. No DAP.

“Ini bermakna ahli-ahli parlimen Umno akan berpegang kepada arahan tersebut dan akan terus berada dalam kerajaan PN sehingga parlimen dibubarkan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Arau itu merupakan penyokong kerjasama Umno dan Bersatu dan dipecat sebagai pengerusi Umno Perlis oleh Presidennya Ahmad Zahid Hamidi pada April lalu.

Shahidan yang kini pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) berkata sekiranya terdapat usaha pihak MT Umno untuk keluar kerajaan PN sebelum parlimen dibubar, maka itu adalah kesalahan.

“Mereka layak diambil tindakan,” jelasnya.

Pun begitu, Shahidan mendakwa Majlis Tertinggi Umno gagal mengambil tindakan “kerana mungkin tiada keberanian.”

“Perbuatan tersebut adalah pilih kasih kerana ada orang yang kesalahan menegur Presiden telah diambil tindakan dan digantung keahlian Umno seperti Lokman Adam dan Tun Faisal.

“Tetapi kesalahan yang dibuat presiden, Ahli Majlis Tertinggi mendiamkan diri,” katanya.

Untuk rekod, pada 28 Mac lalu bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz digantung dari Umno selama enam tahun.

Sementara itu, Umno memecat Lokman Nor Adam pada 7 Feb 2020.

Shahidan mengulang dakwaannya Zahid melanggar keputusan PAU 2020 lalu iaitu “No Anwar, No DAP, No PKR.”

Pada Oktober tahun lalu, Zahid didakwa menandatangani surat kepada Agong yang berikrar akan menyokong Anwar.

Pejabat Zahid kemudian mendakwa surat itu palsu, tetapi bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa mengatakan sebaliknya.

Pada 21 Jun, MT Umno memberi tempoh 14 hari kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi menggesa persidangan parlimen segera diadakan sebagaimana saranan Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, Putrajaya memutuskan akan memanggil sidang parlimen sebelum 1 Ogos 2021.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan pelbagai sumber mengesahkan Zahid memenangi undi percaya dalam MT Umno baru-baru ini.

Pada 29 Jun, MT Umno memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti itu selama 18 bulan.

Ini bererti tempoh jawatan Zahid sebagai presiden akan dilanjutkan sehingga 2023.

Menurut pelbagai sumber, sebanyak 52 undi bersetuju pemilihan Umno ditangguhkan, manakala dua lagi menentang dan dua berkecuali.

Terdapat seramai 33 ahli MT yang dipilih semasa pemilihan Umno pada 2018 dan 23 lagi dilantik ke jawatan itu.

Menjelang perhimpunan agung parti itu pada Mac lalu, terdapat banyak laporan bahawa parti itu mengalami keretakan, dengan kem Zahid ingin memutuskan hubungan dengan PN, manakala satu lagi kem enggan berbuat demikian.

Pimpinan dalam parti yang rapat dengan Zahid berkata, ahli parlimen atau menteri kabinet dari Umno yang enggan mengikut ketetapan parti itu minggu hadapan, berkemungkinan akan dipecat.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/581535