Muhammad, nama paling popular untuk bayi UK 2023

Nama Islam, Muhammad, sekali lagi menduduki tempat teratas sebagai nama bayi lelaki yang paling popular di United Kingdom pada tahun ini.

Laman web BabyCentre telah menyenaraikan 100 nama teratas untuk bayi perempuan dan lelaki pada tahun 2023.

Ejaan lain bagi nama seperti Mohammed dan Mohammad juga terdapat dalam senarai tersebut.

Jurucakap BabyCentre, Faye Mingo, menyatakan bahawa ibu bapa semakin peka terhadap isu pemberian nama dengan menghabiskan banyak masa memikirkan bukan sahaja mengenai nama bayi mereka, tetapi juga ejaan nama.

“Mungkin ia kecil, tetapi perbezaan ini penting kepada ibu bapa jadi kami kini akan memasukkan semua ejaan nama bayi individu dalam carta kami,” katanya kepada Mirror.

Muhammad, yang bermaksud “terpuji” dalam Bahasa Arab, ialah nama rasul terakhir dalam agama Islam dan dianggap sebagai nama yang paling banyak digunakan untuk kanak-kanak lelaki di seluruh dunia.

Nama ini memiliki pelbagai ejaan dan sering menjadi salah satu dari 10 nama teratas di kebanyakan negara.

Menurut laman web keibubapaan Bump, dianggarkan terdapat kira-kira 150 juta kanak-kanak lelaki yang diberi nama Muhammad di seluruh dunia.

Noah, yang juga merupakan nama rasul, menduduki tempat kedua dalam senarai, diikuti oleh Theo, Leo, Oliver, Arthur, George, Luca, Freddie, dan Jack.

Baca juga: Shila Amzah buat ‘bungalow tour’ untuk netizen, siap bagi pesanan pedas lagi -“Rumah besar bukan jaminan bahagia”