Seorang perdana menteri yang mendapat sokongan pemimpin Umno yang korup tidak akan mendapat sokongan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), kata Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir.
Presiden penaja Pejuang itu berkata ini kerana parti tersebut tegas menentang rasuah yang dilabelnya sebagai “musuh nombor satu orang Melayu.”
Bercakap pada majlis ceramah Pejuang di Kedah malam tadi, Mukhriz berkata Pejuang akan berada di pihak yang bertentangan dengan pimpinan Umno seperti Najib Razak, Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor dan “pemimpin korup” yang lain.
“Di mana mereka berada, kita tidak ada.
“Dia nak ikut mana-mana, konon tiba-tiba nak tanda tangan SD (akuan bersumpah) sokong pihak-pihak tertentu untuk jadi perdana menteri, kita tidak ada di situ,” kata bekas menteri besar Kedah itu.
Walaupun tidak menyebut nama kenyataan Mukhriz itu jelas merujuk kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang telah berusaha mendapatkan sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata dia yakin Anwar dapat melakukan ini, dengan salah satu jalannya mungkin melalui SD.
Ahli Parlimen Umno Ketereh, Annuar Musa juga mendakwa terdapat usaha di dalam parti itu untuk mengumpulkan SD menyokong Anwar.
Pada Oktober, Najib melobi Umno dan BN untuk menyokong presiden PKR.
Bagaimanapun, pemimpin DAP dan Amanah mendesak PKR untuk tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang atau membuang masa dengan ahli parlimen oportunis dan memfokuskan untuk menyatukan pembangkang.
Mukhriz juga menyatakan kebimbangan mengenai kerjasama DAP dan Umno dalam menjatuhkan bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu.
“Dua kumpulan yang tidak pernah boleh duduk sekali… Tiba-tiba pasal nak jatuhkan menteri besar boleh bersekali.
“Mungkin boleh ada keadaan-keadaan tertentu kerjasama boleh dibuat (tapi) bagi kita langsung tak boleh,” katanya.
Bagaimanapun, ahli parlimen Jerlun tidak menyokong Pejuang bertanding dalam pilihan raya akan datang sebagai kekuatan ketiga – berkata ini bukan pilihan yang sesuai.
Pada masa sama, dia belum melihat bagaimana pembangkang akan bekerjasama dalam pilihan raya akan datang.
“Mungkin tiada lagi Pakatan Harapan pada PRU15,” katanya memetik konflik dalaman di dalam gabungan pembangkang.
Ini sekali lagi merujuk kepada konflik mengenai rancangan Anwar untuk menjadi perdana menteri.
Warisan telah menggesa perubahan dalam kepemimpinan pembangkang, yang tampaknya mendapat sambutan bagi sesetengah pihak dalam PH.
sumber: https://www.malaysiakini.com/news/556654