Jemaah Menteri hari ini bersetuju melantik bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, pelantikan itu telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Pelantikan ini juga dibuat atas dasar keyakinan Kerajaan terhadap kemampuan YB Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yasin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
“Pihak Kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yasin di atas pelantikan ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.