Muhyiddin hanya tahu beri perutusan, menteri terpinga tidak tahu buat kerja

Majoriti orang ramai sudah nampak, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak punya keupayaan lagi untuk mengurus tadbir negara apatah lagi dalam keadaan krisis Covid-19 sebegini.

Negara ini perlu nakhoda baru yang lebih bertenaga, punya idea dan pengaruh khususnya dalam usaha memulihkan ekonomi.

Sebahagian anggota Kabinet PM Muhyidin memang ada upaya untuk bekerja tetapi sebahagian besar tidak tahu hala tuju dan tiada wawasan.

Ada menteri hanya pandai berkuliah dan ronda sana-sini hulur sumbangan daripada duit kerajaan, padahal tugas menteri lebih daripada sekadar hadir majlis hulur sumbangan sebegitu.

PM pula hanya tahu beri perutusan dan sebelum ini baca doa. Jika beginilah negara ini diurus, PM hanya beri perutusan, sementara menteri hanya tahu beri sumbangan, proses memulihkan negara tidak berlaku dengan betul.

Semua sektor negara kita sekarang sedang sangkut. Menteri-menteri kelihatan terpinga-pinga, cuma negara ini bernasib baik kerana ada pegawai tinggi kerajaan yang berkebolehan.

Merekalah penyelamat. Jika diharap kepada sebahagian besar menteri, negara ini sudah jadi lebih teruk daripada situasi yang sedang dialami.

Dengan jumlah menteri dan timbalan menteri yang begitu ramai, dengan sebahagian menteri berada di kementerian yang tidak sesuai, dengan timbalan menteri yang tidak tahu buat kerja, apalah diharap negara ini akan berada di landasan betul untuk pulih.

Jujurlah. Negara ini perlu nakhoda baru demi masa depannya.

*USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH.