Muhyiddin patutnya sedar, wajar undur dan letak jawatan

Berikutan daripada kenyataan secara terbuka Presiden Umno Zahid Hamidi dan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Parti Keadilan Rakyat (PKR) sangat yakin bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya sedar bahawa beliau telahpun kehilangan sokongan majoriti.

Menurut Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin Muhyiddin secara perundangannya telah hilang keabsahan sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia.

“Tan Sri Muhyiddin sewajarnya berundur serta meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan cara yang terhormat memandangkan sokongan majoriti Ahli Parlimen kini telahpun beralih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Memandangkan dengan sokongan penuh ahli-ahli Parlimen Umno kepada beliau sebelum itu, Muhyiddin hanya mempunyai selisih majoriti dua orang ahli Parlimen sahaja.

“Kesedaran kehilangan sokongan majoriti ini turut diperkuatkan lagi dengan pengakuan Tan Sri Muhyiddin sendiri yang memohon untuk Datuk Seri Anwar membuktikan sokongan majoriti beliau menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai satu proses formaliti,” katanya.

Dalam pada itu, PKR juga menegaskan bahawa sebarang cubaan pihak-pihak tertentu untuk menghalang pertemuan Anwar dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang telah di perkenankan oleh Baginda adalah satu tindakan malampaui batas dan tidak menjunjung amalan demokrasi.

“Ini sangat bertentangan dengan hasrat Seri Paduka Baginda yang jelas membuka pintu kepada rakyat disamping meneliti dengan terperinci segala isu-isu berkaitan perlembagaan sebagaimana ketika proses lantikan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 dahulu,” katanya.

Terdahulu, Zahid Hamidi melalui kenyataan beliau menyatakan dengan jelas dan terang bahawa Umno dan BN tidak dapat menghalang Ahli-ahli Parlimen mereka yang mengambil keputusan untuk menyokong Datuk Seri Anwar.

Bahkan Zahid Hamid juga memaklumkan bahawa Ahli-ahli Parlimen Umno yang menyatakan sokongan tersebut adalah dalam satu jumlah yang ramai.