Muhyiddin yang ‘darurat’ bukannya negara

Presiden AMANAH Mohamad Sabu menyifatkan langkah darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan disebabkan COVID-19 sebaliknya Muhyiddin sendiri yang ‘darurat’.

“Bagi saya yang benar-benar darurat ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, bukannya negara,”kata Mohamad dalam kenyataan petang ini.

Mohamad juga berkata, Muhyiddin sebenarnya dalam keadaan ‘darurat’ untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

“Jika alasannya Covid 19, kita sudah ada undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk membasmi wabak ini dengan berkesan, tanpa perlu kepada pengistiharan darurat kepada negara,” katanya.

Akta 342 iaitu Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998, boleh digunakan untuk mengawal keadaan disebabkan penularan Covid-19.

Akta 342 itu sendiri telah membenarkan kerajaan untuk menguatkuasa arahan kuarantin dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Muhyiddin Yassin dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada petang tadi bagi mencadangkan keputusan Jemaah Menteri untuk menguatkuasakan perintah darurat.

Hari ini, Kabinet telah memutuskan menyokong pengisytiharan perintah darurat namun masih membincangkan istilah bagi menggantikan perkataan ‘darurat’ agar tidak menimbulkan panik.

Akhir-akhir ini, Muhyiddin mengalami tekanan politik apabila Umno mengugut untuk menarik sokongannya terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/muhyiddin-yang-darurat-bukannya-negara/