Mukhriz sahkan akan beri sokongan kepada calon PM dari Pakatan Harapan

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberi gambaran tidak akan memberikan sokongan kepada kumpulan kleptokrat untuk membentuk kerajaan atau memilih calon Perdana Menteri.

Jelasnya, Pejuang akan kekal dengan prinsip parti untuk memerangi rasuah.

“Kami dari awal lagi kekal berprinsip dalam soal memerangi rasuah, jadi dalam hal itu kami akan bermasalah jika majoriti yang kami sokong itu mengandungi apa yang kami katakan kluster mahkamah.

“Itu pun salah satu faktor selain yang saya sebutkan tadi, itu prinsip kami,” jelasnya ketika ditemu bual Buletin AWANI Khas di sini, pada Selasa.

Tambah Mukhriz, ketika ini Pejuang masih berunding dengan parti-parti politik lain dalam memberikan sokongan agar nama Perdana Menteri yang baharu dapat dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada Rabu.

“Kami sedang berbincang dengan pihak lain, kita akan cuba mendapatkan seorang calon yang mempunyai majoriti… jadi hasil perbincangan itu belum dimuktamadkan dan saya rasa esok kita akan tahu.

“Saya harap majoriti yang hendak dicapai itu menjadi kenyataan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, mengulas sama ada Pejuang akan memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), jelas Mukhriz, beliau tidak menolak kemungkinan itu.

“Kami (Pejuang) bersedia bekerjasama dengan mereka (PN), itu bukan dapat kita elak untuk kita mencukupkan angka (majoriti) itu,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun tambah Mukhriz, Pejuang ketika ini lebih memberi tumpuan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam mendapatkan majoriti ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan.

“Kita harap bahawa pihak PH akan usahakan dan maklumkan kepada kami bahawa mereka sudah mempunyai jumlah mencukupi. Jadi kita akan jalan terus selepas itu.

“Kita terbuka kepada ketiga-tiganya (Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), tapi keutamaan kami tentu bersama PH. Jadi calon pertama dan kedua adalah yang kami beri tumpuan ketika ini,” katanya lagi.

sumber : https://www.astroawani.com/berita-politik/pejuang-sedia-kerjasama-dengan-semua-asalkan-bukan-kluster-mahkamah-mukhriz-314588