Mungkinkah cinta lama akan berputik kembali? Sharnaaz tak tolak jika berjodoh dengan Shila

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Diusik oleh netizen untuk kembali bercinta dengan Shila Amzah selepas memberi sokongan secara terbuka kepada penyanyi itu, Sharnaaz Ahmad berkata dia tidak mampu menghalang peminat untuk mendoakan tentang jodohnya namun dia percaya semua itu di tangan Allah.

Menurut laporan Utusan Online, dia berkata tiada siapa yang dapat meramal masa depan namun mengucapkan terima kasih atas doa-doa yang baik buatnya.

“Orang mendoakan yang baik, bukannya tak baik. Jadi kita terima sajalah. Tapi, yang nak tentukan itu adalah Allah SWT. Tapi terima kasih atas doa-doa yang baik itu.

“Cuma, kita tak boleh ramal apa akan jadi pada masa depan.Kalau ada, adalah. Kalau tak ada, nak buat macam mana? Saya akan ‘keep my windows open’(terbuka) kepada sesiapa sahaja. Saya tak berani nak janjikan apa-apa. Saya tak akan mengatakan tidak atau mengatakan ya. Serah pada Dia,” katanya.

Sharnaaz juga mempunyai jawapan sendiri apabila ditanya mengenai kesediaannya untuk berbaik semula dengan keluarga Shila.

“Tak tahulah. Kalau nak berdendam pun dah tua sangat dah kot,” katanya.

Dalam pada itu, Sharnaaz mengakui ada berhubung dengan Shila menerusi selepas penyanyi itu berpisah dengan suaminya Februari lalu untuk memberikan kata-kata semangat.

“Terus-terang, kami ada saling mesej. Dia melalui fasa yang pernah saya alami, perceraian. Mungkin sesekali dia nak dapatkan pendapat dan kami berbual. Sebenarnya, daripada dulu kami tak pernah bermusuh.

“Saya cuma ada isu dengan ibu bapa dia saja, waktu itu. Tapi bagi saya, dah lama sangat dah. Nak berdendam pun untuk apa? Kami ada berbual dan dia ada bertanyakan bagaimana saya lalui pengalaman dulu sewaktu gagal dalam alam rumah tangga.

“Bagi saya, orang akan selalu bercakap dan hanya kita sahaja yang tahu diri sendiri. Hanya kita sahaja yang boleh buat diri sendiri bahagia. Nak bunuh semua kata-kata nista orang itu, buktikan dengan kejayaan,”katanya.