Mursyidul Am PAS akui selepas kalah di Melaka, masih mahu kepada Umno

Mursyidul Am PAS akui selepas kalah di Melaka, masih mahu kepada Umno

Selepas tewas di Melaka Pas mengaku akar umbi masih mahu bekerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata akar umbi dilihat lebih menyokong MN bagaimanapun Pas tidak akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) demi penyatuan ummah.

“Umno adalah sahabat Pas dalam MN dan diharapkan kerjasama tersebut terus diperkukuh menjelang PRU15 dan rundingan menyatupadukan ketiga-tiga parti itu akan terus dilakukan.

“Kita akui akar umbi mahu MN dan kita harap pihak Umno mengukuhkan MN dalam pilihan raya akan datang. Apa yang lebih penting kerajaan negeri Melaka tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) meskipun PN juga kalah dalam PRN itu,” katanya dipetik Utusan.

Pas tewas di semua lapan kerusi ditandingi dalam PRN Melaka itu sekali gus mengulangi kekalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pas tidak serang Umno di Melaka

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek juga mengesahkan bahawa persaingan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lebih kepada persabahatan sebab itulah Pas tidak menyerang Umno.

Kamarudin berkata, meskipun tidak berada di bawah satu gabungan bersama Umno pada PRN Melaka, prinsip MN bersama Umno masih lagi dikekalkan sehingga kini.

“Oleh kerana kita ambil prinsip masih mengekalkan MN, isunya kita tidak boleh buat serangan kepada mereka sepanjang PRN ini dan kita kekal pada prinsip persahabatan itu walaupun bersama PN.

“Sebab tu kita tak ada buat serangan apa, jadi saya tiada isu lah, biarpun tidak mendapat satu kerusi dalam PRN Melaka.

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pintu persefahaman antara Umno dan Pas menerusi MN masih terbuka meskipun BN dilihat mampu bergerak bersendirian.

sumber : https://malaysiadateline.com/selepas-tewas-di-melaka-bersama-pn-pas-kata-ahli-masih-mahu-bersama-umno/

COMMENTS