Nadir dedah Ebit Lew bayar ratusan ribu dollar kepada “syarikat” untuk masuk Gaza

INTEGRITI DAN TRANSPARENSI DALAM PERBELANJAAN NGO?

Mereka yang terlibat dengan kerja kemanusiaan tahu bahawa pendaftaran di bawah ROS hanya menuntut dihantar penyata kewangan tahunan.

Menjadikan perbelanjaan diaudit adalah bonus dan menunjukkan bahawa NGO menjunjung integriti dan transparensi.

Itu tindakan yang diambil pihak saya tahun ini kerana kami mula mencuri perhatian dan diberi amanah yang besar menyampaikan sumbangan kalian.

Untuk makluman juga, pengurusan NGO di Gaza sangat ketat dan penyampaian bantuan dipantau agar tidak berlaku penyelewengan. Sebagai contoh, dalam projek korban tahun ini, pihak Saya membeli 122 ekor lembu melalui sistem tender terbuka.

Agihan akan dibuat melalui 140 NGO tempatan yang berdaftar dan dipantau Kementerian Dalam Negeri, malah kami perlu menyediakan senarai nama 30,000 keluarga yang akan menerima bantuan daging!

Adakah pihak EL bersedia memberi penerangan sekiranya ratusan ribu dollar yang dibayar ke syarikat Hala, untuk penginapan, barangan sumbangan yang dibeli untuk agihan sama ada yang terdampar di Cairo atau yang dibeli di Gaza?

Sekiranya perbelanjaan tersebut datang dari poket sendiri, sahhah wa afiyah, terima kasih dan teruskan usaha murni ini. Sekiranya tidak, ambillah tanggungjawab memberi penerangan kepada semua penderma supaya tidak timbul bibit-bibit fitnah yang lain.

PENUTUP

Saya mengambil masa yang lama memikirkan sama ada menulis coretan ini atau tidak. Saya tidak kisah dengan makian dan cacian netizen kerana di balik apa yang zahir, sangat ramai yang memberikan sokongan dan meneruskan sumbangan.

Tetapi tanggungjawab mengurus NGO dan melakukan kebajikan ini tanggungjawab sosial, ia bukan semata dengan mengirim gambar dan meraih sokongan awam tetapi ia amanah yang akan ditanya di hadapan Allah kelak dan sepatutnya pengurusan setiap NGO khususnya masuk keluar sumbangan wajar ditanya oleh penderma yang bijak.

Contohnya kalau akaun NGO mempunyai puluhan juta ringgit dan bantuan yang disampaikan hanya beberapa ratus ribu dollar dan diketahui perancangan penggunaan baki duit yang disumbangkan orang ramai, pastinya ia bukan tanda integriti dan transparensi.

Seruan saya kepada pihak Tim EL, beranilah tampil untuk memberikan penerangan dan penjelasan tentang beberapa perkara yang disebutkan daripada melihat jutaan netizen mencipta fitnah dan bertelagah sesama sendiri.

Selamat Hari Raya Aidil Adha, Maaf Zahir Batin.

Nadir Al-Nuri,
20 Julai 2021, 2.43am Gaza.