NADMA dikritik hebat, Menteri sedia letak jawatan dan bubar NADMA

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menjadi sasaran kritikan susulan didakwa gagal mengurus bencana banjir dengan baik terutamanya di Selangor.

Keadaan itu bertambah ‘panas’ apabila kenyataan Abdul Latiff mengenai Nadma di Dewan Rakyat pada 15 November lalu diambil di luar konteks sehingga mencetuskan reaksi kurang senang rakyat.

Ikuti penjelasan lanjut Abdul Latiff mengenai isu pengurusan bencana negara dalam temu bual khas bersama wartawan Sinar Harian, Nurul Huda Husain di Pusat Kawalan Bencana Negara, Puchong, Selangor pada malam Selasa.

SINAR HARIAN: Beberapa hari ini tular kenyataan Datuk di Dewan Rakyat yang mengatakan Nadma tidak terbabit dalam soal pengurusan bencana, sebaliknya hanya menjaga urusan pemberian pampasan kepada mangsa sehingga mencetuskan pelbagai reaksi rakyat. Boleh Datuk jelaskan apa sebenarnya berlaku?

ABDUL LATIFF: Sebenarnya sedutan video (ucapan di Dewan Rakyat) yang viral itu adalah pada 15 November lalu.

Ketika itu banyak soalan yang dibangkitkan mengenai Nadma lambat memproses bantuan. Ingin saya jelaskan bahawa Nadma tidak memproses perkara tersebut.

Bila isytihar bencana, orang yang berada di lapangan adalah pegawai daerah yang berfungsi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah yang kuasanya diperturunkan daripada Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20.

Segala pengurusan berkaitan bencana di kawasan terbabit akan diurus oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah.

Nadma akan membantu sebagai urus setia kerana agensi ini hanya ada di peringkat persekutuan dan kita tiada kakitangan di peringkat negeri atau daerah. Nadma hanya ada seramai 50 kakitangan bertugas di peringkat pusat.

Jadi, segala urusan pengurusan bencana akan diuruskan di peringkat negeri, pengerusinya adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), manakala di peringkat daerah adalah tanggungjawab pegawai daerah.

Adakah Nadma bercadang menambah kakitangan berbanding 50 orang sekarang?

Kalau kita hendak tambah (kakitangan), saya ingat kita boleh ambil alih pengurusan bencana ini daripada A sampai Z, sedangkan negeri-negeri pun ada fungsi mereka.

Saya berpendapat pengurusan bencana ini harus dikongsi oleh tiga peringkat kerajaan iaitu pusat, negeri dan daerah atau pihak berkuasa tempatan.

Kita tidak boleh suruh kerajaan pusat sahaja mengurus sebab bencana ini buta warna. Jadi menjawab kepada persoalan itu, kalau hendak serah semua sekali kepada pusat tidak bolehlah kerana bagi saya apabila berlaku bencana ia perlu dikongsi dari segi pengurusannya.

Kita ambil contoh, jika pengurusan ini diambil alih oleh pusat, cuba bayangkan bagaimana hendak menguruskan dari segi bantuan kepada mangsa.

Jadi sebab itu kita kena kembali kepada tiga peringkat iaitu daerah, negeri dan seterusnya pusat.

Apabila bencana berlaku di Baling, Kedah contohnya, pegawai daerah yang berfungsi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah lebih mengetahui mengenai penduduk yang terlibat.

Mereka berhubung dengan pengerusi kampung atau penduduk kerana jawatankuasa kampung atau penduduk berada di bawah pengurusan pejabat daerah.

Di media sosial ramai yang menyalahkan Nadma kerana dikatakan lewat dalam menyalurkan bantuan sama ada dari segi menyelamat mangsa atau agihan bantuan. Apa komen Datuk?

Nadma merupakan sebuah agensi pengurusan kecemasan kerajaan Malaysia yang berfungsi sebagai penyelaras kepada agensi kerajaan yang terlibat dengan penguatkuasaan bencana.

Nadma diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang membolehkan ia menyelaras gerak kerja pengurusan kecemasan yang dijalankan oleh agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan sebagainya.

Menyentuh mengenai peranan Nadma dalam pengurusan banjir, ingin saya tegaskan bahawa banjir adalah tanggungjawab bersama.

Kalau ikut Perlembagaan bagi pengurusan bencana banjir ini ia mempunyai tiga lapisan kuasa. Pertama kuasa persekutuan, kedua kuasa negeri dan seterusnya kuasa di peringkat daerah atau pihak berkuasa tempatan.

Jadi, struktur dan organisasi yang dimiliki Nadma ketika ini sudah cantik dan tersusun tetapi dalam masa sama kita tidak nafikan ada kelemahan tertentu yang perlu diperbaiki.

Dalam mana-mana krisis akan wujud ketidaksempurnaan tetapi jika kita gunakan pendekatan menuding jari kepada pihak tertentu ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah. Kita di Nadma akan terus bergerak untuk selesaikan masalah yang timbul.

Susulan ‘kegagalan’ Nadma, ada pihak yang mendesak supaya agensi ini dibubarkan dan Datuk meletak jawatan. Apa pandangan Datuk?

Bubar (Nadma) boleh, saya setuju. Saya letak jawatan (pun) boleh. Saya sudah enam penggal (berkhidmat sebagai wakil rakyat) tiada masalah.

Tapi apakah solusinya? Kalau ada cadangan supaya Nadma dibubar dan minta saya letak jawatan bagilah solusinya sekali. Kalau kata hendak suruh letak jawatan (semata-mata), negara kita akan bertukar Perdana Menteri setiap tiga bulan.

Bagaimana perancangan Nadma untuk berdepan cabaran perubahan iklim yang akan menyebabkan lebih banyak bencana?

Dengan perubahan iklim dunia ketika ini saya rasakan Nadma perlukan lebih data, teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) dan juga perlu ada kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) di mana kita boleh ada elemen jangkaan berasaskan bukti yang kukuh.

Sebagai contoh, semasa Covid-19, AI digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjangkakan kes bersandarkan bukti-bukti kukuh. Jadi, bagi pengurusan bencana kita juga perlu lakukan perkara sama.

Ada dakwaan mengatakan Nadma menghalang badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Betulkah begitu? Apakah prosedur yang NGO ini patut patuhi apabila ingin menghulurkan bantuan?

Saya ingin tegaskan di sini bahawa kita tidak pernah menghalang mana-mana NGO untuk hulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana banjir ini, sebaliknya kita amat mengalu-alukan kerana kerajaan tidak boleh bergerak sendiri tanpa adanya sokongan daripada NGO dan begitu juga sebaliknya.

Ingin saya jelaskan bahawa NGO-NGO yang mahu masuk ke kawasan bencana untuk hulurkan bantuan kepada mangsa perlulah maklumkan kepada pihak kami terlebih dahulu kerana kita ingin memastikan keselamatan semua pihak.

Bayangkan kalau kumpulan ini masuk ke kawasan bencana tanpa memaklumkan kepada pihak Nadma, kita tidak tahu jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

-sinar harian-