Keputusan memulangkan semula pasport kepada Datuk Seri Najib Razak dipertikai seorang Ahli Parlimen (MP) pembangkang yang tidak bersetuju dengan layanan istimewa diberikan kepada bekas Perdana Menteri tersebut.
MP Sepang, Hanipa Maidin berkata alasan untuk menenami anak perempuannya bersalin yang diberikan Najib dalam permohonannya mendapatkan pasport tidak munasabah kerana beliau bukan seorang bidan dan tidak sepatutnya mendapat keistimewaan tersebut.
“Kerajaan kata tidak ada wang untuk dibelanja, tapi kita hairan kenapa pihak yang bertanggungjawab merugikan ekonomi negara iaitu Yang Berhormat Pekan (Najib) dalam isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), sekarang ini diberikan layanan begitu istimewa, boleh pergi Singapura untuk sekian lama, 25 Oktober sampai 6 Disember, asalnya 20 Oktober sampai 22 November.
“Kenapa dibenarkan pergi begitu lama? alasannya untuk melawat anak dia nak bersalin, dia bukan bidan sampai sebulan nak pergi sana, dia bukan bidan kalau nak lawat Singapura, mungkin pergi lima hari dah cukup, tapi dekat sebulan, adakah Yang Berhormat Pekan bidan menolong seseorang untuk melahirkan anak?” katanya di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan minggu lalu membenarkan permohonan Najib mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula 20 Oktober hingga 22 November ini.
Najib mahu menemani anaknya, Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan bakal melahirkan anak kedua bulan hadapan.
Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor juga dikembalikan pasportnya untuk tujuan sama.
Bagaimanapun, Najib pada 22 Oktober menangguhkan perjalanan ke Singapura bagi membantu jentera parti UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung 20 November depan.
Untuk rekod, Najib sudah dijatuhi hukuman bersabit satu pertuduhan di mahkamah dan masih berdepan banyak lagi perbicaraan, sementara isterinya juga sedang dibicarakan di mahkamah.
sumber : https://www.agendadaily.com/isu-semasa/teman-anak-bersalin-najib-sekarang-jadi-bidan-ke/