Ramai wanita mengidamkan bibir yang seksi, mulus dan mongel untuk tampil lebih menawan.
Malah, ada wanita tidak pernah rasa puas dengan bentuk bibirnya, sanggup melakukan apa sahaja dan berhabis beribu ringgit agar kelihatan menarik dipandang.
Bagi yang mengimpikan bibir menawan bak delima merkah, banyak pusat rawatan kosmetik dan pakar estetik boleh melakukannya seperti suntikan ‘filler’.
Namun, jangan tersilap langkah kerana ada kalanya rawatan itu boleh memudaratkan, selain menjadikan bibir bertambah buruk.
Ini yang terjadi kepada seorang wanita dari Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) mengalami reaksi alahan melampau, apabila bibirnya membengkak tiga kali ganda daripada saiz normal selepas mendapatkan ‘filler’ pada bibir dengan kos AS$350 (RM1,643).
Basia Query, 24, mendapat potongan harga bagi prosedur yang tidak menggunakan jarum.
Selepas pakar kecantikan menyuntik ‘filler’ pada bibir wanita itu menggunakan pen hyaluron, beliau disyaki mengalami kejutan anafilaksis.
Pen hyaluron menggunakan udara bertekanan tinggi bagi membolehkan ia masuk ke bawah kulit.
Kejutan anafilaksis berlaku apabila sistem imun berlebihan, menyebabkan tekanan darah menurun dan saluran pernafasan menjadi sempit, malah dalam kes lebih teruk, menyebabkan ia tertutup.
Akibatnya, Query tidak dapat bercakap dan makan selepas tindak balas alahan itu berlaku pada bibirnya.
Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan saiz bibirnya yang amat besar.
Beliau berkata, ia adalah “perkara paling menakutkan” kepadanya dan bimbang kemungkinan terpaksa “memotong” bibirnya.
Bagaimanapun, nasib menyebelahinya apabila doktor bertindak dalam masa lima minit selepas beliau mendapat kejutan dan memberikannya suntikan adrenalin.
Dalam tempoh 24 jam, bengkak di bibirnya sedikit berkurangan, namun ia masih dalam keadaan “sangat lebam”.
Susulan kejadian itu, Query memaklumkan, beliau tidak akan meneruskan sebarang prosedur kosmetik lain pada masa akan datang dan keluarganya juga “takut”.
Apa yang menarik, prosedur itu bukan perkara baharu bagi Query. Beliau ke klinik untuk prosedur sama sebanyak dua kali sebelum ini dan menjalani tanpa sebarang masalah.
Bagaimanapun pada kali ini, beliau berasa sangat tidak selesa.
Query bergegas ke farmasi untuk mendapatkan ubat anti alergi, dengan memakai pelitup muka bagi menyembunyikan bibirnya.
Tindak balas itu dilaporkan berlaku akibat ubat bius yang diberikan kepadanya bagi menghilangkan rasa sakit.