Hidangan tomyam memang sudah menjadi sebahagian daripada hidangan biasa di rumah kita, dan biasanya pes tomyam juga sentiasa ada dalam stok.
Walau bagaimanapun, ada juga yang merasakan pes tomyam segera ini tidak memberikan rasa dan kepedasan yang memuaskan. Tidak mencukupi rasanya!
Kalau begitu, anda boleh mencuba untuk membuat pes tomyam sendiri mengikut citarasa anda yang lebih padu! Yang penting lebih halal dan kebersihan terjaga.
Cara untuk membuatnya telah dikongsi oleh Myss Deen. Selain daripada digunakan untuk hidangan tomyam, pes ini juga sesuai untuk digunakan dalam pelbagai masakan goreng.
Buat sendiri pes tomyam homemade yang sedap
Pes tomyam homemade yang sedap dan tanpa ragu-ragu. Versi ini sudah saya upgrade, lebih sedap dan sangat disukai kenalan-kenalan dan pelanggan saya. Pes ini juga sesuai untuk digunakan untuk masakan bergoreng yang lain seperti bihun , sayur, nasi, ikan dan lain-lain.
Bahan-bahan:
Cili kering -beli kuantiti RM3, belah dua untuk buang biji, cuci dan toskan.
20 cili merah
6 biji bawang merah besar ( boleh guna bawang kecil tapi lebihkan kuantiti) dan 2 biji besar bawang Holland belah 8.
5 pokok ketumbar -keratan pangkal batang dan akar
Halia sebesar ibu jari, lengkuas juga
2 labu bawang putih
8 batang serai gemuk -hiris kasar
15 helai daun limau purut (dikira bercantum), dibuang urat tengahnya untuk mengelakkan rasa pahit ( saya guna daun lebar-lebar)
1 sudu besar belacan yang disangai/bakar
Cara penyediaan:
1. Minyak masak sebanyak 1½ cawan digunakan untuk menggoreng bahan yang disenaikan secara bergilir-gilir sehingga layu atau naik bau, kemudian ditoskan.
2. Kemudian kisarkan semua bahan bahan itu, tidak perlu tambah air.
3. Sediakan satu mangkuk (saiz mangkuk sup) ikan bilis dan jumlah yang sama untuk udang kering. Basuh bersih dan kemudian sangai atau bakar sehingga kering. Selepas itu, kisar halus bahan-bahan tersebut.
4. Kesemua bahan-bahan di atas dimasak dalam kuali hingga mengeluarkan minyak, berbau wangi, dan warnanya bertukar menjadi gelap. Pastikan untuk menggaul dan membalik bahan-bahan tersebut dengan api sederhana secara berkala.
5. Kemudian masukkan bahan berikut;
-1 bekas penuh pes asam jawa.
-Gula Thai lebih kurang 4 ke 6 sudu besar mengikut cita rasa atau gula lain-lain.
-1 ke 1½ cawan sos ikan (perlu terasa lebih masin dari kebiasaan kita masak lauk)
-2 ketul kiub ayam (jika suka)
-2 biji jus limau nipis
6. Akhir sekali masak hingga sebati dan lihat jika ia betul betul masak. Kemudian sejukkan dan simpan di dalam peti sejuk.
Semoga bermanfaat.
Baca juga: Keluarga Zulfarhan nekad saman fitnah terhadap bomoh, tapi tak sangka ini pulak yang peguam kongsi