Pemilik seharusnya meneliti latar belakang pekerja sebelum mengambil mereka untuk bekerja apatah lagi banyak kes pergaduhan berlaku antara staf dan pelanggan.
Terbaru seorang pengguna Facebook meluahkan rasa marah terhadap pekerja kedai makan yang selamba menarik seluar anaknya.
Alasan yang diberikan anak adalah kerana staf tersebut mahu tahu sama ada di sudah bersunat atau tidak.
Di bawah adalah hantaran penuh yang dimuat naik di Facebook, ECO MAJESTIC SEMENYIH CITIZEN.
“Hanya nak berkongsi pengalaman buruk makan di satu kedai di ECO MAJESTIC dan kejadian ini berlaku pada Jumaat lepas.
Selepas anak balik sekolah, kami terus ke kedai makan. Tentang makanan tiada masalah malah cepat sampai.
Tapi sampai satu masa, anak bujang nak pergi ke tandas untuk buang air. Bila dia balik ke meja, menangis.
Dia ditanya kenapa, anak hanya mendiamkan diri dan tidak sambung makan. Bila masuk dalam kereta dia cerita semuanya.
Rupanya salah seorang pekerja di kedai itu telah menarik seluar anak saya masa dia nak ke tandas, siap cakap ‘nak tengok dah sunat ke belum’.
Memang saya patah balik dan tegur pekerja tersebut tapi dia macam tak ada buat salah. Budak-budak kecil mana pandai nak bohong.
Jadi boss dia datang minta maaf pada kami, kalau ikutkan saya nak buat laporan polis tapi kami fikir periuk nasi orang,” ujarnya dalam hantaran tersebut.
Lelaki tersebut turut menasihati ibu bapa untuk lebih peka dan temanlah anak-anak ketika pergi ke tandas awam.
“Harap Kalau ada yang makan di luar, anak ke tandas, pastikan teman mereka. Macam-macam boleh berlaku.
“Kami makan di dalam kedai, cuma pandangan tandsa tu terlindung di sebalik televisyen,” tambahnya.
Info terkini, lelaki tersebut memilih untuk teruskan laporan polis selepas berbincang dengan isterinya bagi mengelakkan kejadian sama berlaku kepada orang lain.
Baca juga: “Suami ceraikan aku sebab ada skandal lagi muda, aku balas dendam kahwin dengan bapa mertua dia”