Nama pemain Harimau Malaya, Faisal Halim terus menjadi sebutan orang ramai sehingga muncul sohor kini (trending) di laman X susulan penampilan pertamanya di khalayak umum pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC semalam.
Penjaring Gol Terbaik Piala Asia itu meraih simpati warganet apabila muncul dengan keadaan luka di tangan dan parut di muka selain dilihat seperti sukar bergerak akibat insiden simbahan asid yang berlaku pada 5 Mei lalu.
Tonggak Harimau Malaya berusia 26 tahun yang sebelum ini lincah beraksi di padang kini kelihatan agak sugul dan sedih apabila menyatakan beliau sanggup hilang gaji puluhan ribu ringgit asalkan keluarganya selamat.
Nyata selepas lebih sebulan sejak tragedi hitam itu berlaku, Faisal yang mesra dipanggil Mickey menanggung kesengsaraan yang berat dan belum pulih sepenuhnya.
Malah, menambahkan rasa kasihan orang ramai apabila melihat Faisal sebak semasa menceritakan bahawa beliau tidak dapat mendukung, mencium dan memeluk anaknya seperti biasa sepanjang menjalani proses pemulihan.
“Saya adalah orang yang paling rapat dengan anak. Setiap kali saya pergi ke luar negara, anak saya akan demam sebab terlalu rindukan ayahnya.
“Selepas kejadian tersebut, saya tidak boleh cium dan peluk anak selama sebulan. Ini bukanlah satu perkara yang mudah untuk seorang ayah,” ujarnya.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa sedih selain maki hamun terhadap pihak yang menganiaya Mickey yang berasal dari Mengkuang Titi Seberang Perai Pulau Pinang ini.
Sehingga pagi ini, nama Faisal Halim teratas dalam sohor kini di Malaysia dengan lebih 95,000 ‘posts’ menyebut tentang pemain yang berketinggian hanya 1.58 meter berkenaan.
“Ba** si** yang buat dekat dia sampai macam ni, dia nak main bola je gila. Mana bangsa yang angkuh taknak tangguh game, kau tengok! Hina gila perangai,” maki pengguna X, @KayKhalish.
Luahan sama dilontarkan @twtnowplaying yang menulis, “FH (Faisal Halim) dah sampai tahap macam ni pun masih nak “the show must go on” bagai. Takde empati dan takde otak.”
Tidak kurang juga berpendapat ada pihak yang tidak senang dengan pencapaian cemerlang Mickey yang menjadi sebutan dunia menerusi gol ajaibnya semasa menentang Korea Selatan sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub pada Januari lalu.
“Sayangnya Faisal ada bakat main bola tapi sebab ada pulak tu dengki habis karier dia musnah,” kata @pea_nad13 pula.
Semalam, dalam sidang media yang mengundang kesedihan rakyat Malaysia itu, Faisal berkata, apa yang menimpa dirinya itu adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan sukar untuk diterima.
“Minggu kedua saya cakap kepada Datuk Seri (Shahril Mokhtar iaitu Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC) yang saya sanggup hilang gaji saya berpuluh ribu untuk berhenti bermain bola sepak asalkan saya selamat, keluarga saya semua selamat.
“Namun, Datuk Seri beritahu saya, beliau beri jaminan keselamatan saya dan keluarga. Ketika itu saya kembali bersemangat untuk teruskan bermain bola sepak kembali.
“Saya cakap kepada isteri saya, keluarga termasuk ayah dan abang, saya tidak kisah saya sanggup hilang gaji, balik kampung untuk hidup dengan tenang,” katanya yang telah menempuh empat pembedahan sepanjang berada di hospital akibat simbahan asid itu.
BACA JUGA Selepas tolong wanita Cina bayarkan ubat, lelaki ini dapat bantuan yang tak disangka