Nama Ku Li jadi trending selepas dicadang jadi PM Interim

Nama veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li menjadi trending di Twitter apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mencadangkan agar Ahli Parlimen Gua Musang itu dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

Mohd Zaid menyatakan perkara tersebut menerusi ciapan di Twitter pada Rabu berikutan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memanggil beberapa pemimpin politik untuk menghadap secara berasingan bagi membincangkan mengenai isu semasa negara.

Menurut Mohd Zaid, walaupun perbincangan Yang di-Pertuan Agong itu tertumpu kepada proklamasi darurat, namun negara memerlukan seorang Perdana Menteri Interim bagi menerajui negara buat sementara waktu.

Sehingga jam 1.30 petang Rabu, nama Ku Li terus trending sehingga 1,486 ulang ciap dan terus meningkat, manakala ciapan Mohd Zaid mendapat lebih 258 tanda suka serta 250 ulang ciap daripada netizen.

Rata-rata netizen pula memberi pandangan masing-masing, ada yang bersetuju dan tidak kurang menolak cadangan tersebut.

sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/143181/BERITA/Nasional/Nama-Ku-Li-trending-selepas-dicadangkan-jadi-PM-Interim