Nampak Foto ‘Gadis Muda’ Dalam ‘Handphone’ Suami, Wanita Dilapor Tikam Suami Tanpa Sedar Gambar Itu Adalah Dirinya

Seorang wanita di Mexico dilaporkan telah menikam suaminya beberapa kali selepas menyangka mangsa curang terhadapnya, lapor Daily Star.

Memetik kenyataan pihak polis, suspek menjadi cemburu dan marah selepas melihat gambar mangsa bersama ‘wanita muda’, tanpa menyedari itu adalah dirinya sendiri suatu ketika dahulu.

Akibatnya, dia telah menikam si suami beberapa kali sebelum mangsa berjaya merampas pisau daripadanya. Suami berkenaan kemudiannya menjelaskan bahawa gambar tersebut adalah gambar mereka berdua beberapa tahun sebelumnya, semasa mereka masih kurus dan muda.

Jelas suaminya, gambar-gambar tersebut telah didigitalkan dan disimpan dalam telefon miliknya, tulis portal itu.

Susulan itu, wanita berkenaan telah ditahan selepas polis tiba susulan laporan jiran yang terdengar bunyi bising di rumah mereka.-SK